Ahad, 28 November 2021 | 1:50pm
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Majlis Pelancaran Program ReDI Negeri Sarawak di Kapit Town Square, hari ini. NSTP/IHSAN KPDNHEP
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Majlis Pelancaran Program ReDI Negeri Sarawak di Kapit Town Square, hari ini. NSTP/IHSAN KPDNHEP

KPDNHEP sasar 15,200 peniaga seluruh negara manfaatkan ReDI

KAPIT: Perluasan program Inisiatif Digital Peruncitan (ReDI) di bahagian ini bakal merealisasikan Kapit sebagai pelopor Digitalisasi Luar Bandar di Sarawak.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu diadakan bagi memastikan peniaga kecil tidak terus ketinggalan dalam arus perdana dan membantu perniagaan kecil di kawasan pedalaman untuk turut serta menerusi model baharu perniagaan secara digital.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata menerusi pelaksanaan Program ReDI, kementeriannya menyasarkan 100 peniaga bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyertainya menjelang akhir tahun depan.

Katanya, ia hasil kolaborasi strategik bersama dengan kerajaan negeri, PBT serta KPDNHEP di setiap negeri.

"Sekiranya ini dapat dilaksanakan, kementerian yakin sasaran 15,200 peniaga dalam kategori ini di seluruh negara dapat menerima manfaat dan turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna, dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program ReDI Negeri Sarawak yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad di Kapit Town Square di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, sejak penganjuran program ReDI di Kapit bermula 17 November lalu, sebanyak 422 peniaga di bahagian itu sudah mendaftarkan perniagaan mereka bersama penyedia e-wallet.

"Setakat 27 November, kita dapat lihat peningkatan 24 peratus dari 1,734 peniaga berdaftar di bahagian ini.

"Di Pasar Teresang sahaja, seramai 27 daripada 93 peniaga di pasar ini sudah mendaftarkan perniagaan mereka dengan penyedia e-wallet. Ini sangat memberangsangkan dan kita jangka jumlahnya akan terus meningkat," katanya.

Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan transaksi e-dagang melonjak hingga 30 peratus iaitu bersamaan RM254.6 bilion pada suku pertama tahun 2021 manakala rekod Bank Negara pula menunjukkan penggunaan e-wallet meningkat sebanyak RM600 juta pada tahun 2020, berbanding tahun sebelumnya yang hanya mencatat sebanyak RM300 juta.

"Peningkatan ini amat signifikan dan memperlihatkan kadar penerimaan penggunaan transaksi tanpa tunai di negara ini. Dalam konteks ini, KPDNHEP menggerakkan susun kerja dalam memastikan agenda digitalisasi menjadi objektif utama sektor peruncitan dengan tumpuan utama kementerian adalah keperluan bagi peniaga di peringkat mikro dan kecil menerima serta mengguna pakai e-wallet.

"Pendekatan secara 'cashless' ini juga adalah wadah utama kerana ia memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil, tambahan pula dengan situasi pandemik pada masa ini yang mengalakkan transaksi tanpa tunai.

"Justeru, pelaksanaan ReDI di Kapit yang dilancarkan hari ini sangat penting kerana ia akan memberi satu momentum kepada agenda digitalisasi negara, terutama untuk pemain industri sektor peruncitan," katanya

Bagi menyokong pelaksanaan program ReDI di Kapit katanya, KPDNHEP menerusi Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan melaksanakan satu program sumbangan kepada kumpulan belia secara tanpa tunai di Kapit, membabitkan sumbangan sebanyak RM50 setiap seorang kepada lebih 400 belia dan ia boleh ditebus menggunakan aplikasi e-wallet terpilih.

"Sumbangan ini diharapkan dapat memberi galakan kepada belia di Kapit supaya tidak ketinggalan mengikuti arus perkembangan teknologi semasa," katanya.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan pelbagai syarikat penyedia e-wallet bagi membantu peniaga di bahagian Kapit dan seluruh Sarawak amnya.

Antara sumbangan, 20 kereta sorong oleh Shopee kepada peniaga yang dikenal pasti bersesuaian di Sarawak, pulangan tunai (RM3 bagi setiap pembelian bernilai RM15 ke atas) dan penyediaan sesi latihan 'Shopee University' bagi membantu usahawan dan peniaga di bahagian Kapit memulakan peniaga di dalam talian.

Berita Harian X