Ahad, 28 November 2021 | 1:11pm
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya membantah kenaikan yuran 80 peratus bagi ‘Biomedical Admission Test’ (BMAT).
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya membantah kenaikan yuran 80 peratus bagi ‘Biomedical Admission Test’ (BMAT).

Kesatuan mahasiswa kesal yuran BMAT naik 80 peratus

KUALA LUMPUR: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) membantah kenaikan yuran sebanyak 80 peratus bagi 'Biomedical Admission Test' (BMAT) yang diwajibkan ke atas bakal pelajar perubatan.

KMUM dalam kenyataan berkata, bantahan itu berdasar tiga faktor dengan yang pertama kerana peningkatan yuran yang tinggi daripada tahun sebelumnya.

Katanya, kadar yuran itu pada tahun akademik 2021/2022 adalah sebanyak RM250 dan naik kepada RM450 bagi 2022/2023.

"Walaupun pelepasan diberikan kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), namun yuran mereka turut meningkat dengan ketara dari RM100 kepada RM225.

"Ini sekali gus menjadi penghalang besar bagi mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah perubatan, tambahan pelepasan itu tertakluk kepada budi bicara fakulti," katanya.

Katanya, faktor kedua KMUM tidak bersetuju dengan kenaikan itu adalah kerana BMAT dijalankan secara dalam talian dan ia sepatutnya dapat mengurangkan kos penyewaan tempat serta kos elektrik termasuk pendingin hawa.

"Bagaimanapun, peperiksaan dalam talian ini tidak menyebabkan berlakunya pengurangan yuran yang sepatutnya dilakukan malah terdapat peningkatan terhadap kadar yuran berkenaan," katanya.

Faktor ketiga pula katanya, kerana bayaran yang dikenakan adalah tidak munasabah selepas perbandingan dilakukan.

Katanya, calon BMAT di United Kingdom (UK) hanya perlu membayar sekitar £49 (RM235) sehingga £85 (RM408) dan gaji minimum di UK adalah sebanyak £1,600 (RM7677)

"Di Malaysia pula calon perlu membayar RM450 untuk BMAT walaupun gaji minimum adalah RM1,200," katanya.

Justeru, KMUM meminta pihak pengurusan universiti memberikan penjelasan tentang rasional di sebalik tindakan yang diambil oleh mereka.

Katanya, sekiranya alasan di sebalik mengapa tindakan diambil adalah rasional, pelajar UM pasti akan bersikap rasional.

Menjelaskan mengenai BMAT, KMUM berkata, sejak dulu pelajar perubatan UM diwajibkan untuk menduduki peperiksaan kemasukan tambahan iaitu BMAT.

Bagaimanapun, KMUM turut mempertikaikan tujuan sebenar pembayaran yang dilakukan untuk seseorang menduduki peperiksaan ini.

"KMUM ingin menegaskan bahawa BMAT ini adalah kaedah untuk memilih calon yang sesuai untuk program Program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) yang sengit persaingannya dan bukan kaedah untuk fakulti mengaut keuntungan.

"Walaupun keuntungan mungkin akan dilaburkan semula untuk penambahbaikan kemudahan di fakulti, namun ia tidak sepatutnya dinaikkan kerana ia akan mengurangkan peluang pelajar B40 untuk meneruskan minat mereka dalam bidang perubatan," katanya.

Sementara itu, KMUM juga mahu pihak pengurusan universiti menjelaskan mengapa tiada pengurangan yuran bagi golongan pelajar antarabangsa dan Saluran Terbuka Universiti Malaya (SATU) (saluran khas untuk pengambilan pelajar bagi program Sarjana Muda tertentu di Universiti Malaya) pada semester kali ini.

Katanya, kesatuan mengambil maklum bahawa peratusan subsidi yuran pengajian seperti pelajar UPU tidak dapat diberikan kepada golongan pelajar antarabangsa serta saluran SATU kerana mereka tidak menerima subsidi daripada pihak kerajaan.

"Mereka sepatutnya diberikan pengurangan yuran yang sama seperti pelajar UPU seperti yang dilakukan pada tiga semester lepas.

"Pengurangan yuran ini wajar dikekalkan bagi pelajar antarabangsa serta saluran SATU," katanya.

Berita Harian X