Ahad, 28 November 2021 | 10:56am
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menghadiri Majlis Penutup Karnival Advokasi Kepenggunaan Belia bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kapit Town Square, malam tadi.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menghadiri Majlis Penutup Karnival Advokasi Kepenggunaan Belia bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kapit Town Square, malam tadi.

Daftar SSM untuk nikmati bantuan kerajaan

KAPIT: Pemilik perniagaan termasuk perniagaan kecil dan sederhana di negeri ini disaran mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, (SSM) bagi membolehkan mereka layak menikmati kemudahan dan insentif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata segelintir peniaga mengeluh kerana tidak menikmati kemudahan kerajaan namun selepas diteliti mereka didapati tidak mendaftar dengan SSM, antara agensi di bawah kementeriannya.

Justeru katanya, beliau memahami keluhan kelompok peniaga di negeri ini yang mengutarakan keresahan mereka kerana tidak menikmati manfaat dan insentif untuk golongan peniaga yang disediakan oleh kerajaan.

"Kegagalan mendaftar perniagaan dengan SSM menyebabkan ada komuniti peniaga yang tercicir daripada inisiatif ini yang dilaksanakan secara automatik berdasarkan pangkalan data perniagaan SSM," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penutup Karnival Advokasi Kepenggunaan Belia bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kapit Town Square, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Menurutnya beliau memahami situasi di Sarawak kerana pemilik perniagaan hanya boleh mendaftarkan perniagaan mereka dengan kerajaan negeri, melalui Majlis Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

"Sehubungan itu, saya menyarankan agar mereka mendaftar dengan SSM kerana kebanyakan bantuan perniagaan disalurkan kepada yang layak, seperti golongan B40 dan M40 berdasarkan pangkalan data perniagaan yang berdaftar dengan SSM," katanya.

Penganjuran Karnival Advokasi Kepenggunaan Belia bersama KPDNHEP itu mendapatkan kerjasama Pejabat Daerah Kapit, SSM, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) itu diadakan selama dua hari bermula 26 November.

Program yang julung kali diadakan itu bermatlamat memberi pendedahan yang lebih meluas mengenai informasi kepenggunaan dan perniagaan kepada penduduk sekitar terutamanya golongan belia.

Antara pengisian program itu adalah seperti ceramah hak-hak pengguna, pertandingan e-sport mobile legends dan ip-explorace yang mendapat sambutan hangat di kalangan golongan belia di sini.

Mengulas program berkenaan, Nanta berkata, selain agensi-agensi kementerian, pembabitan syarikat-syarikat luar pada karnival itu juga menarik minat pelbagai golongan untuk menceburi diri di dalam bidang perniagaan.

"Saya berharap program ini membuka minda penduduk di sini dan seterusnya memberikan maklumat yang tepat kepada mereka mengenai bantuan-bantuan kerajaan yang tersedia sekiranya mereka ingin menceburkan diri di dalam perniagaan.

"Kita tidak mahu ada yang tertinggal dan ini tentunya selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada SSM kepada pelbagai penerima di Kapit berjumlah hampir RM130,000.

Berita Harian X