Sabtu, 27 November 2021 | 4:34pm

Sotong goreng RM100: Pengusaha restoran diberi tempoh hingga Isnin

KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi tempoh sehingga Isnin ini kepada pemilik sebuah restoran nasi kandar di Pulau Pinang yang didakwa menjual dua sotong goreng pada harga RM100.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata perlanjutan tempoh itu bagi membolehkan pengusaha restoran berkenaan melengkapkan dokumen yang dikehendaki untuk siasatan lanjut.

"Selepas menerima dokumen, analisa akan dibuat untuk menentukan sama ada wujud unsur pencatutan atau sebaliknya.

"Pemilik (restoran) diminta melengkapkan dokumen terutama nilai harga sebenar sotong mentah dan kos memasak. Kita tidak sewenang-wenangnya mengenakan kompaun, sebaliknya akan melakukan siasatan berdasarkan dokumen lengkap dikemukakan pemilik restoran nasi kandar itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Sivik Ajil, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid. - Foto NSTP
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid. - Foto NSTP

Sebelum ini, resit pembelian sotong goreng itu yang dijual pada harga RM100 bagi dua ekor, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu juga mengesahkan pemilik restoran nasi kandar terbabit memberi kerjasama ketika siasatan awal dan proses penyerahan notis.

"Kita dimaklumkan, pelanggan yang membeli sotong pada harga RM100 itu tidak memuatnaik dan membuat aduan, sebaliknya ada individu lain yang memuatnaik harga dan resit pembelian melalui laman sosial.

"Pemilik restoran nasi kandar itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, jika gagal menjawab notis dikeluarkan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Sotong goreng 2 ekor RM100, KPDNHEP keluarkan notis percatutan
  • Sotong goreng yang dijual pada harga RM100 bagi dua ekor, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.
    Sotong goreng yang dijual pada harga RM100 bagi dua ekor, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.
    Berita Harian X