Sabtu, 27 November 2021 | 9:38am
 Foto NSTP/Danial Saad
Foto NSTP/Danial Saad

102,436 dos penggalak diberi semalam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 102,436 dos penggalak vaksin COVID-19 diberikan kepada kumpulan sasar semalam, menjadikan jumlah kumulatifnya kini mencecah 2,059,277 dos.

Angka itu dikongsikan Kementerian Kesihatan menerusi portal COVIDNOW yang turut menjelaskan 113,741 suntikan vaksin diberikan semalam, yang membawa kepada jumlah kumulatif 52,666,489 dos.

Angka harian vaksinasi itu turut membabitkan 6,376 lengkap divaksin dan 4,929 dos satu.

Ia sekali gus menjadikan 25,071,685 atau 76.8 peratus populasi keseluruhan di negara ini lengkap vaksinasi, setakat semalam.

Dalam pada itu, 651,973 (dua peratus) pula belum lengkap divaksin dan 7,317,045 (22.4 peratus) lagi tiada vaksinasi.

Perkongsian sama turut menyaksikan seramai 2,615,923 atau 83.1 peratus populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun lengkap imunisasi, manakala 150,726 (4.8 peratus) belum lengkap vaksinasi dan 380,851 (12.1 peratus) tiada vaksinasi.

Mengenai perkembangan jangkitan COVID-19 pula, 5,501 kes harian dilaporkan, semalam, yang membawa kepada jumlah kumulatif 2,614,480 kes tanpa kematian baharu.

Sejak COVID-19 melanda negara, jumlah keseluruhan korban telah mencecah 30,240 kes, dengan 6,116 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Kematian itu meliputi 67.1 peratus kes tiada vaksinasi, manakala belum lengkap vaksinasi (20.3 peratus) dan sudah lengkap divaksin (12.6 peratus).

Secara keseluruhan, kadar penggunaan alat bantuan pernafasan di seluruh negara mencecah 38.5 peratus atau 267 kes, kes aktif di unit rawatan rapi (63.8 peratus atau 519 kes) dan pesakit COVID-19 diwadkan (67.9 peratus atau 1,177 kes).

Berita Harian X