Sabtu, 27 November 2021 | 7:22am
 Foto NSTP/Danial Saad (hiasan)
Foto NSTP/Danial Saad (hiasan)

Sabah benarkan pelawat lengkap vaksin tanpa ujian COVID-19

KOTA KINABALU: Berkuat kuasa 1 Disember ini, Sabah membenarkan kemasukan pelawat yang lengkap vaksin tanpa perlu menjalani ujian saringan COVID-19.

Bagi individu berusia 12 tahun ke atas yang belum divaksin atau belum lengkap divaksin perlu melakukan saringan COVID-19 dan menunjukkan slip keputusan ujian negatif di pintu masuk negeri ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan perlu mengemukakan laporan perubatan yang disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar.

Beliau berkata pengembara domestik yang lengkap vaksin hanya perlu mengisi borang deklarasi kesihatan dan bukti status telah lengkap divaksin ketika penilaian risiko di pintu masuk Sabah.

"Sekiranya bergejala, individu terbabit akan diarahkan untuk menjalani ujian COVID-19 dan diberikan arahan 'Home Surveillance Order' atau HSO sehingga keputusan dikeluarkan," katanya.

Masidi berkata bagi individu yang belum divaksin atau belum menerima vaksin lengkap tertakluk dengan SOP sedia ada iaitu membuat ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum memasuki Sabah dan mengisi borang deklarasi kesihatan.

Sementara itu, bagi pengembara antarabangsa yang lengkap vaksin, mereka diarahkan menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari dan menjalani ujian saringan RT-PCR pada hari ke lima tempoh kuarantin.

Pengembara antarabangsa yang belum menerima vaksin lengkap diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 10 hari dan menjalani ujian saringan RT-PCR pada hari ketujuh tempoh kuarantin.

Masidi berkata pengembara antarabangsa diwajibkan menjalani ujian saringan RT-PCR ketika ketibaan dan mendapat kelulusan HSO daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Namun bagi yang tidak mendapat kelulusan HSO KKM, pengembara boleh meneruskan perjalanan ke Sabah dan dikuarantin di pusat kuarantin hotel (yang diwartakan) atau pusat kuarantin Institut Latihan Awam (ILA) yang disediakan di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Sabah merekodkan 486 kes baharu semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 231,644 kes.

Berita Harian X