Jumaat, 26 November 2021 | 6:09pm
Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam (kanan) berkata sesuatu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sambil diperhatikan EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh (tengah). - NSTP/Syafeeq Ahmad

- Foto ihsan Facebook Dr Muhamad Akmal Saleh
- Foto ihsan Facebook Dr Muhamad Akmal Saleh

Akmal ADUN termuda dilantik EXCO Melaka

AYER KEROH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh dilantik sebagai EXCO termuda di negeri ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin yang berusia 33 tahun itu dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dengan mengetuai portfolio Kesihatan dan Antidadah negeri.

Ketika ditemui selepas mengangkat Sumpah Jawatan Dan Simpan Rahsia sebagai EXCO negeri hari ini, beliau berkata, pelantikan itu adalah satu tanggungjawab besar yang memerlukan sokongan serta kerjasama semua pihak untuk melaksanakannya.

Katanya, berhadapan dengan penularan COVID-19 ketika ini, beliau berazam untuk memastikan rakyat Melaka terhindar daripada wabak berkenaan menerusi beberapa program serta perancangan yang akan dilaksanakan kelak.

"Saya berusaha untuk menghindari rakyat Melaka daripada wabak itu. Ia sebagai satu daripada azam selepas saya dilantik menerajui portfolio kesihatan ini," katanya.

Sementara itu, ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin, 68, pula adalah EXCO paling tua dilantik dalam pentadbiran Sulaiman.

EXCO Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin ketika ditemubual media selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia Serta Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri, Melaka. - NSTP/Syafeeq Ahmad

Kalsom yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya dipertanggungjawabkan dengan portfolio Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan.

Katanya, beliau berhasrat untuk mewujudkan klinik khas untuk wanita dan kanak-kanak di negeri ini yang dipendam sejak sekian lama.

"Semua sedia maklum, ekonomi rakyat ketika ini tidak menentu, justeru dengan kewujudan hospital berkenaan dijangka mampu membantu wanita dan kanak-kanak untuk mendapatkan rawatan secara percuma.

"Saya pastikan hasrat itu tercapai," katanya.

Berita Harian X