Jumaat, 26 November 2021 | 12:22pm

Rauf antara lapan muka baharu dilantik EXCO Melaka

AYER KEROH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh antara lapan muka baharu yang dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara akan mengetuai portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri.

Sulaiman ketika mengumumkannya, berkata selain itu, muka baharu yang dilantik adalah ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar); ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani);

Turut dilantik, ADUN Gadek, VP Shanmugam (EXCO Belia, Sukan dan NGO); ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan) serta ADUN Merlimau, Dr Akmal Saleh (EXCO Kesihatan dan Antidadah);

ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin (EXCO Pendidikan dan Teknologi) dan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (EXCO Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Foto NSTP
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Foto NSTP

Sulaiman berkata, beliau akan mengetuai portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama, manakala ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis kekal menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan.

Sementara ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman pula dilantik sebagai Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.

ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman. - NSTP/Syafeeq Ahmad
ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman. - NSTP/Syafeeq Ahmad

"Senarai EXCO berkenaan dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Simpan Rahsia akan berlangsung petang ini," katanya.

Beliau turut yakin barisan EXCO berkenaan mampu menggalas tanggungjawab untuk membangunkan Melaka, sekali gus dapat menggerakkan usaha merealisasikan manifesto serta aku janji Barisan Nasional (BN) yang dibuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Senarai penuh barisan EXCO baharu Melaka

Ketua Menteri & Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama
- Datuk Seri Sulaiman Md Ali (Lendu)

Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan
- Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Tanjung Bidara)

Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan
- Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia)

Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir
- Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek)

Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar
- Datuk Zaidi Attan (Serkam)

Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Industri Asas Tani
- Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Teluk Mas)

Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)
- V P Shanmugam (Gadek)

Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan
- Datuk Kalsom Noordin (Pengkalan Batu)

Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah
- Dr Muhamad Akmal Saleh (Merlimau)

Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi
- Datuk Rais Yasin (Paya Rumput)

Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna
- Ngwe Hee Sem (Machap Jaya)

Atas dari kiri: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Datuk Zaidi Attan, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan VP Shanmugam. Bawah dari kiri: Datuk Kalsom Nordin, Dr Akmal Saleh, Datuk Rais Yasin dan Ngwe Hee Sem. - Foto NSTP
Atas dari kiri: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Datuk Zaidi Attan, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan VP Shanmugam. Bawah dari kiri: Datuk Kalsom Nordin, Dr Akmal Saleh, Datuk Rais Yasin dan Ngwe Hee Sem. - Foto NSTP
Berita Harian X