Jumaat, 26 November 2021 | 9:10am
Ruang ketibaan yang boleh menempatkan 90 pengembara dari Singapura menerusi VTL darat di Larkin Sentral. - Foto NSTP/Omar Ahmad
Ruang ketibaan yang boleh menempatkan 90 pengembara dari Singapura menerusi VTL darat di Larkin Sentral. - Foto NSTP/Omar Ahmad

VTL darat: Larkin Sentral bersedia

JOHOR BAHRU: Terminal Bas Larkin Sentral bersedia beroperasi bagi menyambut pengembara yang tiba melalui Laluan Perjalanan Vaksinasi Darat (VTL-Land), bermula Isnin ini.

Pengurus Bangunan Larkin Sentral, Mohd Helmi Mohd Affendi, berkata persediaan yang sudah mencapai 90 peratus itu merangkumi fasiliti ruang pelepasan dan ketibaan yang disediakan khas bagi individu VTL-Land yang akan tiba menggunakan pengangkutan bas.

Katanya, ruang ketibaan adalah bagi pengembara VTL-Land dari Singapura, manakala ruang pelepasan pula bagi pengembara VTL-Land dari Malaysia yang mahu ke Singapura.

"Kedua-dua ruang pelepasan dan ketibaan khas ini boleh memuatkan 90 individu pada satu-satu masa. Jumlah itu mencukupi kerana buat masa ini mengikut kuota yang dibenarkan, hanya 1,440 pengembara sehari.

"Ketibaan pertama pada 29 November ini dijadualkan pada jam 8.50 pagi dengan kapasiti 45 penumpang.

"Setiap bas dihadkan 45 penumpang saja. Ketibaan dari Singapura bagi setiap perjalanan lebih kurang tempoh antara 30 hingga 45 minit dengan bas terakhir dijangka tiba selewat-lewatnya jam 9.30 malam," katanya ketika ditemui.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan selain pekerja, VTL-Land turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua negara yang terpisah dengan keluarga akibat pandemik COVID-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang.

Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Pelancaran VTL-Land adalah selari dengan VTL-Air yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Sehingga kini, Malaysia dan Singapura sudah mencapai lebih daripada 95 peratus kadar populasi dewasa yang divaksin.

Berita Harian X