Khamis, 25 November 2021 | 8:25pm
Ismail Sabri ketika berucap secara maya pada majlis Pembukaan ASEM13 hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri ketika berucap secara maya pada majlis Pembukaan ASEM13 hari ini. FOTO BERNAMA

Malaysia seru negara maju bantu jaya program hijau

KUALA LUMPUR : Malaysia berharap negara maju akan terus menyokong dan menyediakan bantuan teknikal serta pemindahan teknologi kepada negara membangun dalam program hijau dan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan Malaysia umpamanya, telah mengumumkan komitmen untuk menjadikan negara ini sebagai Negara Bebas Pelepasan Gas Rumah Hijau, paling awal pada 2050.

Namun katanya, dalam usaha mencapai persekitaran yang hijau dan mampan, kerajaan negara membangun masih perlu melaksanakan strategi yang pragmatik dan tepat untuk membasmi kemiskinan tegar, kebuluran dan ketidaksamaan.

"Oleh itu, saya berharap negara maju akan terus menyokong dan menyediakan bantuan teknikal dan pemindahan teknologi kepada negara membangun dalam program hijau dan mampan," katanya.

Beliau menyampaikan kenyataan Malaysia dalam sesi pleno pertama bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-Eropah Ke-13 (ASEM13) di Phnom Penh, Kemboja yang berlangsung secara maya hari ini.

Sementara itu Perdana Menteri, berkata usaha memajukan agenda pertumbuhan hijau adalah penting untuk mencapai pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan keterangkuman sosial.

Beliau berkata, Malaysia umpamanya, melancarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang secara praktikal menyelaraskan keutamaan pembangunan negara kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) melalui pendekatan penglibatan seluruh negara.

Katanya, dengan fokus 'tiada pihak yang ketinggalan', usaha menjadikan inisiatif SDGs beracuan tempatan perlu dipergiatkan.

"Meningkatkan pemahaman dan kesedaran awam adalah penting dalam melaksanakan SDG di peringkat tempatan.

"Oleh itu, pengarusperdanaan kemampanan adalah penting dalam memastikan peralihan yang lancar kepada ekosistem yang lebih hijau," katanya.

Menyentuh berkenaan pandemik COVID-19 dan diplomasi kesihatan, Ismail Sabri, berkata Malaysia menyokong intipati kenyataan Phnom Penh berkenaan pemulihan sosiekonomi pasca pandemik.

Sehubungan itu katanya, Malaysia berharap semua rakan ASEM dapat melaksanakan dan bekerjasama dalam aktiviti untuk membantu pelaksanaan kenyataan berkenaan.

Berkongsi pengalaman negara ini, beliau berkata Malaysia telah telah melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Kebangsaan (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

"Kami bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai hab untuk pengeluaran vaksin.

"Matlamat ikhlas kami adalah untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa, terutamanya mereka yang terdedah kepada wabak dan hidup dalam keadaan yang mencabar," katanya.

Berkenaan pemulihan sosioekonomi pula, Ismail Sabri, berkata Malaysia pada masa ini bekerjasama dengan beberapa rakan ASEM seperti Singapura dan Indonesia untuk mewujudkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Jelasnya, Malaysia berharap penyambungan pergerakan antara negara membantu meningkatkan ekonomi,memulihkan mata pencarian dan meperbaharui hubungan antara individu.

Dalam pada itu, beliau turut berharap keluarga besar ASEM merangkumi 53 buah negara akan terusterus membina kerjasama dan menjunjung semangat keamanan, kemajuan dan kemakmuran.

Berita Harian X