Khamis, 25 November 2021 | 8:03pm
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

SOP PRN Sarawak dimuktamadkan 30 November

SEREMBAN: Prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 akan dimuktamadkan pada 30 November ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak tengah hari tadi berhubung pelaksanaan SOP itu.

"Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang akan ditugaskan untuk menyelaraskan perkara itu dengan kerajaan negeri Sarawak, sebelum ia dimuktamadkan pada hujung bulan ini.

"Selepas itu, kita akan mengusulkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

SPR semalam, menetapkan PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember depan, dengan tarikh penamaan calon pada 6 Disember, manakala pengundian awal pula diadakan pada 14 Disember.

Sementara itu, mengenai isu Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang dijangka memulakan siri mogok kedua di seluruh negara berkaitan masalah lantikan tetap, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, pihaknya akan mengemukakan satu memorandum kepada Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat bagi mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

"Saya akan bawa satu memorandum kepada Jemaah Menteri dalam tempoh seminggu dua ini bagi mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang mengenai perkara berkenaan (Hartal

Doktor Kontrak).

"Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti terlebih dulu daripada segala aspek sebelum menyerapkan mereka ini ke lantikan tetap," katanya.

Pada Julai lalu, Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara, terpaksa mengambil tindakan drastik mengadakan perhimpunan aman, susulan kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci.

Berita Harian X