X
Khamis, 25 November 2021 | 4:30pm
- Hiasan
- Hiasan

37,853 kes pasangan Islam bercerai di Johor

ISKANDAR PUTERI: Johor merekodkan 37,853 kes perceraian di negeri ini tahun lalu, sekali gus menyumbang 11.5 peratus daripada seluruh kes direkodkan di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) amat mengambil berat isu membabitkan umat Islam di negeri ini terutama kes keruntuhan institusi rumah tangga.

"Bagi mengatasi kes keruntuhan rumah tangga, Bahagian Undang-Undang Syariah JAINJ dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bekerjasama menyusun dan menambah baik kaedah pelaksanaan serta modul disampaikan kepada peserta kursus pra perkahwinan.

"Perubahan modul turut ditambah baik sehingga versi yang keempat sejak ia dilaksanakan.

"Bahagian Pembangunan Keluarga JAINJ juga menyusun program kekeluargaan bagi mencegah kes perceraian sekali gus memelihara institusi keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

Dalam pada itu, Tosrin yang juga ADUN Bukit Permai berkata, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor turut memperuntukkan dana sebanyak RM300,000, khusus bagi bantuan nafkah kepada anak mangsa perceraian.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM200,000 menerusi peruntukkan Persekutuan manakala RM100,000 lagi peruntukkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Berita Harian X