Rabu, 24 November 2021 | 3:22pm
Zainalfikry (kiri) dan Mohd Afif (kanan) meninjau kerja-kerja pemuliharaan muara Sungai Paka ketika Program Sambutan Hari Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran di tapak Bina Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka, hari ini.
Zainalfikry (kiri) dan Mohd Afif (kanan) meninjau kerja-kerja pemuliharaan muara Sungai Paka ketika Program Sambutan Hari Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran di tapak Bina Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka, hari ini.

Projek pemuliharaan muara Sungai Paka siap 85 peratus

DUNGUN: Kebimbangan kediaman musnah dibadai ombak yang menghantui lebih 1,000 penduduk pesisir Sungai Paka di sini setiap kali musim tengkujuh, bakal berakhir apabila projek pemuliharaan sungai itu siap sepenuhnya Mei tahun depan.

Muara Sungai Paka sering berdepan masalah ketika musim tengkujuh seperti hakisan pantai yang teruk dan projek berkenaan sekaligus mampu menyelesaikan kebimbangan penduduk sejak 30 tahun lalu.

Pengarah Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Putrajaya, Zainalfikry Daud, berkata projek bermula 2019 itu kini sudah siap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2022.

Beliau berkata, selain mengelak berlaku hakisan pantai, projek bernilai lebih RM130 juta turut memberi kelegaan kepada lebih 600 nelayan Kuala Paka yang sebelum ini berdepan masalah muara cetek.

"Projek pemuliharaan muara Sungai Paka bertujuan mengawal hakisan pantai, mendapan di muara dan juga mencegah banjir di kawasan berhampiran muara yang sering terjadi apabila berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.

"Selain pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang tiga kilometer, projek yang dilaksanakan Vista Infinity Development Sdn Bhd juga merangkumi kerja-kerja mendalamkan muara sungai sekali gus menyelesaikan masalah muara cetek terutama ketika air surut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program gotong royong Kutip Sampah Sambil Beriadah (KUDAH) yang diadakan sempena Sambutan Hari Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran di tapak Projek Pemuliharaan Sungai Paka, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Vista Infinity Development Sdn Bhd, Mohd Afif Mohd Ghani.

Zainalfikry berkata, pelaksanaan projek itu sekali gus menamatkan penantian penduduk yang terhimpit dengan masalah muara cetek serta hakisan yang teruk sehingga menjejaskan sumber pencarian utama mereka.

"Penduduk pesisir pantai ini kini boleh menarik nafas lega kerana sejak 30 tahun lalu mereka menjalani kehidupan dalam ketakutan setiap kali berlakunya ombak besar pada musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata, selain muara Sungai Paka, projek pemuliharaan sama turut dilaksanakan terhadap beberapa lagi pantai negeri ini yang terhakis teruk, antaranya Pantai Mengabang Telipot hingga Kampung Pagar Besi, Batu Rakit di Kuala Nerus dan beberapa pantai lagi di daerah ini dan Marang.

Berita Harian X