Selasa, 23 November 2021 | 11:23pm
Pengusaha serbuk kopi dan kopi pracampur jenama Puteh, Noorazaini Azmi menunjukkan antara produk kopi dan kopi pracampur yang dijual pada karnival Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat Kebangsaan 2021. - foto BERNAMA
Pengusaha serbuk kopi dan kopi pracampur jenama Puteh, Noorazaini Azmi menunjukkan antara produk kopi dan kopi pracampur yang dijual pada karnival Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat Kebangsaan 2021. - foto BERNAMA

Sektor perdagangan perlu berani mengoperasi semula - PM

KUALA LUMPUR: Sektor perdagangan di negara ini perlu berani untuk mengoperasi semula (reboot) dan melaksanakan amalan terbaik dalam industri, terutama mengguna pakai teknologi pendigitalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pendigitalan menjadi fokus utama kerajaan untuk tahun mendatang dan usaha mempercepatkan agenda itu memerlukan pembabitan industri.

"Konsep perniagaan secara 'omni channel' dan fokus kepada ekonomi sentuhan rendah perlu diberi penekanan.

"Sudah pasti kedua-dua agenda ini memerlukan pemain industri untuk menerima dan mengguna pakai teknologi serta digitalisasi dengan lebih meluas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) 2020 dengan tema 'Memacu Pemulihan dan Memperkasa Perdagangan Domestik' malam ini. Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Perdana Menteri berkata, antara usaha kerajaan bagi mempercepat agenda digitalisasi adalah melalui kewujudan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) bagi melahirkan dan memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk mendigitalkan perniagaan usahawan, dalam usaha memulih serta menjamin ketahanan ekonomi negara pasca COVID-19.

Proses pemulihan ekonomi negara dimulakan kerajaan melalui strategi pelaksanaan Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), yang diumumkan baru-baru ini.

Pada masa sama, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa menggerakkan jentera pemulihan ekonomi domestik menerusi inisiatif berimpak tinggi bagi merancakkan lagi perkembangan sektor perdagangan pengedaran.

"Kerajaan memperuntukkan RM33 juta di bawah Bajet 2022 khusus untuk merancakkan semula sektor perdagangan pengedaran dan KPDNHEP akan meneruskan kempen berimpak tinggi seperti Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang sudah pun dilaksanakan serta akan diperhebatkan tahun depan.

"KBBM mencatatkan impak positif kepada ekonomi domestik, dengan nilai jualan barangan buatan Malaysia bagi 2020 berjaya mencecah RM3.3 bilion, berbanding RM2.87 bilion pada tahun 2019.

"PJM turut mencatatkan nilai jualan RM135.9 billion pada suku keempat 2020, berbanding sasaran RM100 bilion," katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada KPDNHEP bagi pelaksanaan Program Imunisasi Sektor Peruncitan (RiVAC), yang memberikan vaksinasi kepada hampir 56,000 pekerja di sektor peruncitan melalui kerjasama awam dan swasta.

"Ia secara langsung memberi jaminan perlindungan kepada pekerja di sektor peruncitan dan membantu merancakkan pemulihan ekonomi negara.

"Kerajaan percaya, pencapaian ini adalah hasil kerjasama baik antara semua pihak. Persepakatan seperti inilah yang saya mahu terapkan kepada semua pihak yang berkonsepkan 'Keluarga Malaysia'," katanya.

Berita Harian X