Selasa, 23 November 2021 | 10:09pm
Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Michael Yuan melancarkan Pusat Penyelesaian Pelanggan Huawei (CSIC) di Menara Intermark, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Michael Yuan melancarkan Pusat Penyelesaian Pelanggan Huawei (CSIC) di Menara Intermark, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

CSIC bantu Malaysia jadi hab digital ASEAN

KUALA LUMPUR: Teknologi dan penyelesaian terkini dipaparkan di Pusat Inovasi Penyelesaian Pelanggan Huawei (CSIC) Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) bertujuan membantu Malaysia menjadi hab digital ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan, berkata CSIC Huawei direka sebagai hab teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pusat kecemerlangan.

Beliau berkata, ia bagi memacu ekosistem terbuka industri dan mempercepatkan transformasi ekonomi digital di Malaysia, selain mengagregatkan lebih 120 aplikasi dan perkhidmatan rujukan syarikat di seluruh dunia.

"Pelanggan dan rakan kongsi Huawei dapat memanfaatkan platform inovatif ini untuk mereka bentuk dan menguji penyelesaian teknologi, mengesahkan model perniagaan baharu serta memupuk aplikasi dan perkhidmatan inovasi kepada kedua-dua sektor awam dan swasta.

"Menerusi CSIC, mereka akan terus membawa pengalaman global untuk memenuhi keperluan industri ICT di Malaysia dan membantu pihak berkepentingan tempatan dalam menjayakan perniagaan mereka.

"Pusat ini akan bertindak sebagai pemangkin untuk mempercepatkan transformasi digital Malaysia dan untuk memanfaatkan potensi teknologi termaju dan membantu dalam memacu pelaburan dalam ekonomi digital untuk negara pada masa yang sama," katanya hari ini.

Pelancaran CSIC Huawei Malaysia yang terletak di Menara Integra di Kuala Lumpur itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Yuan berkata, Malaysia muncul negara kepercayaan Huawei berikutan hubungan lebih baik akan mempunyai masa depan makmur.

"Kami kini berada dalam tempoh yang ketersambungan di mana-mana lokasi bukan lagi kemewahan, tetapi keperluan penting bagi sesebuah negara untuk mencapai status maju.

Pameran pelbagai alat peranti dan aksesori yang berkaitan dengan teknologi digital di Pusat Penyelesaian Pelanggan Huawei (CSIC) di Menara Intermark, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Pameran pelbagai alat peranti dan aksesori yang berkaitan dengan teknologi digital di Pusat Penyelesaian Pelanggan Huawei (CSIC) di Menara Intermark, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

"Justeru, kami berharap untuk berkembang bersama Malaysia, memainkan peranan penting dalam ekonomi berasaskan teknologi negara dan membina masa depan lebih baik untuk semua rakyat negara ini," katanya.

Mengulas lanjut, Yuan berkata, antara penyelesaian perniagaan ke perniagaan yang tersedia dan dipamerkan di CSIC, termasuk penyelesaian 5G Huawei di seluruh dunia, termasuk penyelesaian bagi bandar pintar dan kenderaan autonomi serta sistem Pendidikan Pintar Huawei.

Katanya, ia termasuk pembelajaran hibrid, meningkatkan penyertaan dan pembabitan antara pelajar dan guru serta membenarkan sesetengah pelajar menghadiri kelas secara bersemuka manakala yang lain menyertai secara maya.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada visi global Huawei untuk membawa digital kepada setiap orang, rumah dan organisasi untuk dunia pintar yang terhubung sepenuhnya.

"Pengkomputeran Awan (cloud) adalah satu lagi kemuncak yang mana Huawei bekerjasama dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) pada Alpha Edge, satu-satunya infrastruktur dan perkhidmatan Awan dan kecerdasan buatan (AI) milik Malaysia kepada perusahaan dan institusi kerajaan yang memastikan kedaulatan data.

"Turut dipamerkan ialah sistem agroteknologi dengan teknologi AI yang boleh menjimatkan masa, memantau kualiti, serta meramalkan hasil dan output, termasuk pengeluaran kaviar premium di Malaysia menggunakan teknologi ini.

"CSIC juga memaparkan peranti infrastruktur rangkaian yang menggunakan kemajuan teknologi terkini dalam 5G dan telekomunikasi serta RuralStar Huawei yang mengatasi cabaran teknikal menghubungkan kawasan terpencil, membawa ketersambungan kepada komuniti yang sukar dijangkau," katanya.

Berita Harian X