Isnin, 22 November 2021 | 11:44pm
Antara pendatang asing yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah kilang alat ganti mesin di Balakong. - NSTP/Azhar Ramli
Antara pendatang asing yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah kilang alat ganti mesin di Balakong. - NSTP/Azhar Ramli

Imigresen serbu kilang, 129 buruh asing ditahan

KAJANG: Jabatan Imigresen menyerbu sebuah kilang alat ganti mesin di Balakong di sini dan menahan 129 pekerja asing atas pelbagai kesalahan termasuk salah guna pas kerja dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah, malam tadi.

Dalam serbuan itu jam 8 malam, ada antara pekerja warga asing yang cuba melarikan diri sehingga terjatuh akibat lantai licin, bagaimanapun keadaan dapat dikawal.

Daripada seramai 134 pekerja diperiksa, 129 didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan ada juga kalangan mereka menyalahgunakan pas kerja yang dikeluarkan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata serbuan dijalankan susulan aduan awam yang mengesyaki kilang itu menggunakan tenaga kerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 110 lelaki dan 19 wanita berusia antara 20 hingga 49 tahun membabitkan warga Nepal, Indonesia, Myanmar, India dan Bangladesh.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud (tengah) memeriksa dokumen pendatang asing yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah kilang alat ganti mesin di Balakong. - NSTP/Azhar Ramli
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud (tengah) memeriksa dokumen pendatang asing yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah kilang alat ganti mesin di Balakong. - NSTP/Azhar Ramli

Antara pendatang asing yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah kilang alat ganti mesin di Balakong. - NSTP/Azhar Ramli
Antara pendatang asing yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah kilang alat ganti mesin di Balakong. - NSTP/Azhar Ramli

- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

"Pemeriksaan turut mendapati ada yang menyalahgunakan Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan, mereka sepatutnya bekerja di Melaka tetapi bekerja di kilang ini," katanya dalam sidang media di lokasi, hari ini.

Katanya lagi, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, tindakan akan turut diambil ke atas majikan kerana menggaji pekerja asing secara salah dan mereka akan dipanggil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Majikan yang didapati membenarkan warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di dalam kilang tanpa dokumen dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM5,000 untuk setiap PATI yang ditahan di premis kilang itu.

"Kita kecewa kerana majikan kilang ini tidak ambil peluang daripada Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang sedang dijalankan oleh kerajaan sekarang.

"Program ini sudah berjalan selama setahun dan baru-baru ini syarat-syaratnya sudah dilonggarkan untuk memberi peluang kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja mereka dalam portal jabatan (Imigresen)," katanya.

Jelas beliau, bagi majikan yang mendaftarkan pekerja PATI dalam portal jabatan itu, pekerja itu tidak akan dikenakan tindakan walapun PLKS masih dalam proses untuk dikeluarkan.

Beliau turut menggesa majikan mengambil peluang itu sebelum Program Rekalibrasi Tenaga Kerja berakhir pada 31 Disember ini kerana tempoh itu tidak akan dilanjutkan.

Operasi secara bersepadu itu dijayakan 80 anggota dan pegawai terdiri daripada Jabatan Imigresen dibantu Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Berita Harian X