Isnin, 22 November 2021 | 4:41pm
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali (kiri) berbual bersama Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad (kanan) selepas secara rasmi memasuki pejabat sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Bangunan Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. - NSTP/Syafeeq Ahmad
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali (kiri) berbual bersama Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad (kanan) selepas secara rasmi memasuki pejabat sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Bangunan Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. - NSTP/Syafeeq Ahmad

Sulaiman bincang penyertaan ADUN PN dalam kerajaan negeri

AYER KEROH: Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, akan berbincang dengan pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN), sama ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) boleh bersama dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu ini atau sebaliknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, berkata meskipun pentadbiran Kerajaan Persekutuan menjalinkan kerjasama dengan PN, namun senario Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan BN bertanding secara solo, perlu diambil kira.

"Saya kena bermesyuarat terlebih dahulu. Saya mesti berbincang dengan pucuk kepemimpinan parti kerana kali ini, kita (BN) bertanding secara solo, bukan dalam kerajaan atau PN.

"Justeru, apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk kepemimpinan parti, saya akan akur," katanya selepas memasuki pejabat pada hari pertama tugasannya sebagai Ketua Menteri berikutan kemenangan BN pada PRN, kelmarin.

Beliau sebelum ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), melebihi dua pertiga kerusi pada PRN Melaka, Sabtu lalu.

Dua ADUN PN yang menang dalam PRN adalah Dr Mohd Aleef Yusof di DUN Sungai Udang dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (DUN Bemban).

Sulaiman berkata, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang diumumkan selewat-lewatnya hujung minggu ini, akan menggabungkan muka lama dan baharu.

Katanya, kombinasi itu membabitkan pelantikan dalam kalangan ADUN yang mempunyai latar belakang pendidikan serta pengalaman yang bersesuaian dan memenuhi keperluan semasa.

"Kita akan lihat kebolehan dan pendidikan mereka untuk kita agihkan portfolio mengikut kesesuaian. Mungkin hujung minggu ini kita akan umumkan pelantikan EXCO," katanya.

Terdahulu, Sulaiman memulakan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka dengan memasuki pejabatnya di Kompleks Seri Negeri, jam 8.20 pagi.

Sulaiman, 55, tiba dengan menaiki kenderaan rasmi Ketua Menteri disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad serta kakitangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau kemudian mengimbas kad perakam waktu di pintu masuk pejabat pada 8.30 pagi sebelum memasuki pejabatnya bagi menghadiri upacara ringkas selain sesi bergambar bersama ketua jabatan negeri.

Ini adalah kali kedua Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) pada Mac tahun lalu.

Berita Harian X