Isnin, 22 November 2021 | 3:51pm
Selangor setakat ini tiada kes baharu taun - Dr Siti Mariah. FOTO NSTP/FAIZ ANUAR
Selangor setakat ini tiada kes baharu taun - Dr Siti Mariah. FOTO NSTP/FAIZ ANUAR

Tiada kes baharu taun di Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengesahkan tiada lagi kes taun atau kolera di negeri ini selepas satu laporan kes terbabit di daerah Petaling pada 21 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud bagaimanapun berkata, Jabatan Kesihatan Selangor (JKS) akan terus memantau penyakit itu dari masa ke semasa.

"Alhamdulillah kita hanya ada satu kes saja, tiada kes lain. Kes itu sudah berakhir, tiada lagi jangkitan, epidemik pun tiada.

"JKS sudah buat pemeriksaan dan ujian saringan di semua lokasi individu itu pergi, semua kontak individu itu negatif.

"Pegawai perubatan di klinik dan hospital juga akan buat ujian jika ada pesakit mempunyai tanda-tanda cirit-birit dan sebagainya," katanya pada Majlis Perasmian Talian SELamat - Talian Hotline Keganasan Rumah Tangga di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13, hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan kes COVID-19 di Selangor pula katanya, beliau mengakui terdapat sedikit peningkatan kes jangkitan di Selangor baru-baru ini.

"Baru-baru ini saya lihat data (terkini) naik sedikit, kita bimbang trend ini terus meningkat disebabkan keimunan kita mula menurun selepas mengambil dua dos yang bermula pada Mac lalu.

"Dalam kajian memang antibodi kita akan menurun selepas enam bulan, maka kita juga masih lagi berisiko untuk mendapat jangkitan.

"Sebab itu dos penggalak diberikan, bermula kepada warga emas dan golongan kormobiditi.

"Bagi mereka yang agak kerap keluar rumah, bekerja elok ambil untuk melindungi diri. Mungkin bukan 100 peratus tetapi jika dijangkiti ia tidak begitu teruk," katanya.

Berita Harian X