Ahad, 21 November 2021 | 11:22pm

'Jadual tugas saya ketat'

MASJID TANAH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, lewat malam tadi disebabkan jadual tugasnya yang padat.

Katanya, ia bermula dengan beberapa pertemuan dan mesyuarat pada hari ini (Ahad), diikuti Mesyuarat Majlis Raja-Raja esok (Isnin) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada Selasa.

"Pada hari Rabu pula, saya masih di Mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum mesyuarat berkaitan Belanjawan Negeri Melaka 2022.

"Jadi, tidak ada salahnya apa yang dilakukan malam tadi (angkat sumpah) supaya saya boleh jalankan tugas lebih awal lagi," katanya pada sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kampung Pulau, malam ini.

Sulaiman yang menang di Dewan Undangan Negeri Lendu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam jam 12.58 tengah malam tadi.

Sementara itu, Sulaiman berkata, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang bakal dilantik selewat-lewatnya hujung minggu depan akan menggabungkan muka lama dan baharu.

Katanya, kombinasi itu membabitkan pelantikan dalam kalangan ADUN yang mempunyai latar belakang pendidikan serta pengalaman yang bersesuaian dan memenuhi keperluan semasa.

"Kita akan lihat kebolehan dan pendidikan mereka untuk kita agihkan portfolio mengikut kesesuaian.

"Mungkin minggu depan kita akan umumkan pelantikan EXCO," katanya.

Berita Harian X