Ahad, 21 November 2021 | 11:08am
Tambak Johor masih lenggang kerana sempadan darat belum dibuka sepenuhnya. - Foto hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Tambak Johor masih lenggang kerana sempadan darat belum dibuka sepenuhnya. - Foto hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

VTL darat dijadual 29 November

ISKANDAR PUTERI: Johor bersedia menerima masuk seramai 1,440 individu pada minggu pertama laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat di antara Malaysia dan Singapura yang akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara, pada 29 November ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata Johor sudah menghantar prosedur operasi standard (SOP) khas kepada kerajaan Persekutuan, bagi membolehkan VTL darat dilaksanakan, sekali gus sempadan antara Malaysia-Singapura dapat dibuka segera.

Katanya, Johor juga sudah membangunkan sistem khas 'Johor Travel Save' bagi melicinkan pelaksanaan VTL darat.

"Johor sudah bersedia untuk membuka sempadan di Tambak Johor dan Link Kedua, sekiranya kerajaan Persekutuan bersetuju pembukaan sempadan darat dilaksanakan menerusi VTL darat Malaysia-Singapura.

"Kita bersedia menerima masuk 1,440 individu pada minggu pertama pelaksanaan VTL darat itu nanti, malah akan melakukan ujian rintis pada 22 November ini, bagi memastikan persediaan rapi dibuat.

"Ia berikutan Johor mempunyai pengalaman membantu kerajaan Persekutuan untuk proses kemasukan menerusi skim Aturan Perjalanan Berkala sebanyak 2,000 individu sehari dan Laluan Hijau Dua Hala seramai 400 sehari di sempadan Malaysia-Singapura.

"Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan kelancaran VTL darat ini, apatah lagi bagi memastikan rakyat Malaysia yang lama terperangkap di Singapura dapat pulang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini.

Cai Tung ingin tahu kuota yang ditetapkan untuk kemasukan VTL darat Malaysia-Singapura yang dilaporkan akan dilaksanakan pada 29 November ini.

Ahad lalu, Hasni dilaporkan mengumumkan VTL darat di antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Hasni dilaporkan berkata, itu hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, Malaysia dan Singapura bersetuju pembukaan sempadan akan dilakukan secara beransur-ansur dan sistematik.

Katanya, ini bagi membolehkan rentas sempadan dilaksanakan dalam keadaan paling selamat.

"Pendekatan yang bersesuaian dengan menetapkan kuota harian bagi aktiviti rentas sempadan ini.

"Bagi memastikan pelaksanaan aktiviti ini tidak menjejaskan kepentingan kesihatan awam, ujian saringan COVID-19 yang boleh memberikan keputusan pada kadar segera serta tidak membebankan warga Malaysia akan dilaksanakan.

"Pada waktu ini, kerajaan Johor bersama KKM sedang menyediakan dan memperkukuh SOP berkenaan VTL - Land, terutama sekali yang berkenaan prosedur operasi saringan kepada pengembara yang ingin keluar dan masuk sempadan kedua-dua buah negara.

"Prosedur ini juga akan memastikan kapasiti saringan dapat menampung jumlah pengembara di bawah VTL - Land," katanya.

Berita Harian X