Jumaat, 19 November 2021 | 6:00pm
Najib di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto BLOOMBERG
Najib di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto BLOOMBERG

Najib tolak tawaran tanah RM100 juta

MELAKA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak tawaran peruntukan tanah bernilai RM100 juta oleh kerajaan kepadanya.

Beliau berkata, langkah itu dibuat selepas isu berkenaan dipolemik oleh pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Jika rakyat tidak selesa, saya boleh tarikh balik permohonan kediaman seperti dibenarkan di bawah Akta Kerajaan pada 2018 itu.

"Permohonan ini sebenarnya berdasarkan Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980, akta berkenaan sudah dipinda dan diubah suai serta diperbaiki pada tahun 2013," katanya pada sidang medianya, di sini hari ini.

Pada Sidang Parlimen kelmarin, Tun Dr Mahathir Mohamad (PEJUANG-Langkawi) membangkitkan bagaimana isu hadiah itu tidak disebut dalam belanjawan negara dan meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz memberi penjelasan.

Bagaimanapun Tengku Zafrul berpendapat soalan itu lebih sesuai ditanyakan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana isu berkaitan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, terletak di bawah kementerian berkenaan.

Ini kemudian mendorong beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit untuk meminta penjelasan.

Sementara itu, Najib berkata, meskipun belum diluluskan tindakan menolak tawaran itu dibuat kerana menyedari keadaan yang dihadapi rakyat selepas pandemik COVID-19.

"Meskipun saya bukan calon di PRN Melaka atau Presiden UMNO mahupun Pengerusi BN, saya tetap buat keputusan untuk menolak tawaran berkenaan, walau pun secara prinsipnya ia berdasarkan kelayakan semua bekas Perdana Menteri.

"Saya menyedari dan memahami ketika rakyat berdepan saat sukar ini, keutamaan negara kepada rakyat," katanya.

Najib turut mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneliti semula peruntukan terbabit.

"Memandangkan isu ini mencetuskan suasana tidak selesa, saya cadangkan kepada Perdana Menteri untuk melihat semua peruntukan kelayakan ini.

"Sekiranya perlu menarik semula peruntukan ini, (lakukan ke atas) semua bekas Perdana Menteri, termasuk selepas saya. Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri yang sudah menerima peruntukan itu tidak perlu ditarik balik," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau hanya mengetahui nilai hartanah yang ditawarkan oleh kerajaan terhadapnya selepas dibangkitkan oleh pihak pembangkang dalam Sidang Parlimen, Khamis lalu.

Katanya, terdapat tiga pilihan yang diberikan oleh kerajaan pada 2018 oleh Jabatan Perdana Menteri.

"Mereka (kerajaan) beri tiga pilihan. Jadi saya ambil pilihan itu (tanah). Saya tak tahu nilai sebenar tanah itu. Itu bukan kerja saya untuk menilai tanah. Itu kerja pihak berkuasa yang membuat keputusan.

"Saya memilih tanah terbabit untuk membina sebuah kediaman seperti mana dilakukan bekas Perdana Menteri sebelum ini.

"Sebab kesesuaian tapak, macam beli tanah apabila ia sesuai dan serasi dengan kehendak kita. Kalau tanah itu tersorok, macam mana kita nak pilih tanah itu.

"Macam semua bekas Perdana Menteri, ia untuk dijadikan kediaman. Ada juga bekas Perdana Menteri yang jual tanah itu. Saya tahu," katanya.

Berita Harian X