Khamis, 11 November 2021 | 12:00pm
Anggota bomba memantau kerosakan dan keadaan sungai berikutan kejadian kepala air yang melanda kawasan peranginan Bukit Wang, Jitra. - Foto Luqman Hakim Zubir/BH
Anggota bomba memantau kerosakan dan keadaan sungai berikutan kejadian kepala air yang melanda kawasan peranginan Bukit Wang, Jitra. - Foto Luqman Hakim Zubir/BH
Anggota bomba memantau kerosakkan dan keadaan sungai berikutan kejadian kepala air yang melanda kawasan peranginan Bukit Wang, Jitra. - Foto Luqman Hakim Zubir
Anggota bomba memantau kerosakkan dan keadaan sungai berikutan kejadian kepala air yang melanda kawasan peranginan Bukit Wang, Jitra. - Foto Luqman Hakim Zubir

18 pusat peranginan di Kedah dikenal pasti berisiko alami kejadian kepala air

Changlun: Fenomena kepala air yang melanda kawasan rekreasi Bukit Wang di Jitra malam kelmarin, turut menyebabkan kawasan perkelahan di Surau Batu Sungai Changlun, di sini, dinaiki air.

Hasil tinjauan bersama pegawai bomba Kedah mendapati paras air di kawasan perkelahan itu meningkat sehingga tiga meter menyebabkan air memenuhi kawasan tebing sedalam 0.5 meter.

Ketika kejadian, dua keluarga terdiri daripada tujuh kanak-kanak dan empat dewasa yang bermalam di kawasan perkhemahan itu bagaimanapun terselamat.

Kawasan peranginan Bukit Wang, Jitra ditutup untuk orang ramai. - Foto Luqman Hakim Zubir
Kawasan peranginan Bukit Wang, Jitra ditutup untuk orang ramai. - Foto Luqman Hakim Zubir

Selain itu, tujuh individu yang terdiri daripada empat dewasa dan tiga kanak-kanak dalam satu keluarga juga berjaya menyelamatkan diri. Terdahulu, mereka turut memuat naik kejadian itu melalui laman sosial Facebook.

Penolong Pengarah Bahagian Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.27 malam.

Beliau berkata, operasi disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Kedah.

"Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah menerima panggilan melalui Sistem MERS 999 bantuan menyelamat mangsa terkandas di atas bukit berdekatan surau pusat peranginan akibat daripada kepala air. Komander operasi melaporkan semua mangsa berada di atas bukit pada ketinggian dianggar hampir dua kilometer dari jalan utama.

"Komander operasi naik ke atas bukit dengan ATV milik penduduk kampung untuk mendapatkan mangsa dan mendapati semua dalam keadaan selamat. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.02 tengah malam," katanya.

Setakat petang semalam, katanya, dua keluarga yang berkhemah di kawasan itu masih berada di Surau Batu Sungai Changlun, namun paras air semakin surut dan terkawal disebabkan tiada hujan.

"Kita juga sudah memberi nombor telefon balai bomba terdekat dan jika berlaku lagi fenomena kepala air, mereka boleh hubungi terus bomba untuk memudahkan penyelamatan. Satu lagi keluarga adalah penduduk setempat, namun kita akan salurkan juga bantuan sekiranya kejadian berulang," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 18 lokasi di Kedah dikenal pasti berisiko berlaku kejadian kepala air, terutama ketika musim hujan, termasuk Sungai Ketil di Baling, Sungai Empangan Pedu di Kuala Nerang, Titi Hayun dan air terjun Batu Hampar di Yan, air terjun Junjung di Kulim, Pusat Rekreasi Tupah di Merbok, Air Terjun Temurun, Jalan Datai di Langkawi dan Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi.

Fenomena kepala air pernah melanda kawasan Gunung Jerai dan Titi Hayun pada 18 Ogos lalu yang mengorbankan enam mangsa.

Di Alor Setar, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah, berkata pihaknya menutup serta merta semua Taman Eko Rimba di bawah pengurusan jabatan itu, termasuk Bukit Wang.

Beliau berkata, kepala air di Bukit Wang, iaitu di Kompartmen 24, Hutan Simpan Bukit Perangin adalah akibat kadar taburan hujan yang tinggi, bukan kerana pembalakan hasil tinjauan anggota JPNK di tempat kejadian.

Muhamad turut meminta orang ramai tidak mengunjungi kawasan Taman Eko Rimba buat sementara bagi mengelak kejadian tidak diingini.

'Kejadian kepala air paling teruk'

Jitra: "Ini kejadian kepala air paling teruk hinggakan air naik sampai ke kawasan tempat perkelahan di Surau Batu Sungai Changlun," kata Wan Azlan Wan Rozali, 27.

Beliau yang mengendalikan aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), berkata kejadian pertama fenomena kepala air adalah minggu lalu, namun hanya di kawasan sungai dan tidak menyebabkan banjir.

"Saya hanya tahu ada mangsa terperangkap di sini selepas dimaklumkan rakan yang ternampak kejadian tular melalui Facebook. Saya terus beri bantuan kepada pasukan bomba dengan membawa mereka masuk menggunakan ATV milik saya ke kawasan ini.

"Ini kerana jentera atau kenderaan bomba tidak boleh masuk berikutan jalan sempit," katanya ketika ditemui di lokasi perkhemahan Surau Batu Sungai Changlun, di sini, malam kelmarin.

Wan Azlan berkata, sebelum kejadian, beliau sedang berehat di kawasan tapak ATV tidak jauh dari kawasan perkhemahan itu.

"Berdasarkan cerita mangsa, mereka akui sangat cemas dan panik kerana tidak pernah alami kejadian seperti ini," katanya.

Pintu masuk Taman Eko Rimba Bukit Wang ditutup sementara berikutan berlakunya kejadian kepala air semalam. - Foto BERNAMA
Pintu masuk Taman Eko Rimba Bukit Wang ditutup sementara berikutan berlakunya kejadian kepala air semalam. - Foto BERNAMA

Berita Harian X