Sabtu, 23 Oktober 2021 | 12:48pm
Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di negara ini kembali merekodkan kenaikan, dengan tahap 0.87 semalam. - Foto Ihsan FB Dr Noor Hisham
Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di negara ini kembali merekodkan kenaikan, dengan tahap 0.87 semalam. - Foto Ihsan FB Dr Noor Hisham

Nilai Rt naik selepas dua hari turun

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di negara ini kembali merekodkan kenaikan, dengan tahap 0.87 semalam, selepas menyaksikan penurunan dua hari dan trend stabil beberapa hari pada tahap 0.88.

Rt pada kelmarin dan Rabu lalu adalah 0.86, turun sejak kali terakhir ia direkodkan pada tahap sama pada 9 Oktober lalu.

Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menunjukkan, hanya Kuala Lumpur mencatat Rt tertinggi melebihi 1 dengan tahap 1.02.

Beberapa negeri turut mencatat nilai Rt di bawah 1 iaitu Negeri Sembilan (0.98), Putrajaya (0.95), Melaka (0.94) Selangor (0.93)dan Sabah (0.91).

Nilai Rt negeri lain pula adalah Kelantan (0.87), Johor (0.86), Kedah (0.86), Terengganu (0.86), Pulau Pinang (0.84), Pahang (0.81), Sarawak (0.80) Perlis (0.75) dan Labuan (dua kes)

Semalam, negara dilaporkan mencatat 6,630 kes baharu menjadikan keseluruhan adalah 2,420,222 kes.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Berita Harian X