Khamis, 21 Oktober 2021 | 8:48am
Anggota APM membantu mangsa banjir berpindah ke PPS di daerah Kuala Muda berikutan banjir kilat. FOTO IHSAN APM
Anggota APM membantu mangsa banjir berpindah ke PPS di daerah Kuala Muda berikutan banjir kilat. FOTO IHSAN APM

Tiga PPS banjir dibuka di Kuala Muda

ALOR SETAR: Sebanyak tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Kuala Muda yang menempatkan 162 mangsa dari 39 keluarga berikutan banjir kilat yang melanda kawasan itu, semalam.

PPS terbabit dibuka selepas paras banjir naik setinggi 0.3 meter hingga satu meter disebabkan hujan lebat semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Agensi Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, PPS yang dibuka adalah PPS Dewan Kampung Bukit Belah di Batu 2, PPS Surau Taman Kenari dan PPS Masjid AL Huda di Kampung Jerung.

Beliau berkata, PPS Dewan Kampung Batu Belah dibuka pada jam 11.32 malam tadi yang menempatkan 18 mangsa dari tujuh keluarga, PPS Surau Taman Kenari (13 mangsa dari 7 keluarga) dibuka pada jam 1.30 pagi tadi dan PPS Masjid Al Huda (25 keluarga yang membabitkan 131 mangsa) dibuka pada jam 12.30 tengah malam.

Anggota APM membantu memasang kelengkapan penginapan untuk mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS dekat Kuala Muda. FOTO IHSAN APM
Anggota APM membantu memasang kelengkapan penginapan untuk mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS dekat Kuala Muda. FOTO IHSAN APM

"Hujan lebat lebih tiga jam di daerah Kuala Muda turut mengakibatkan beberapa mukim, kampung dan taman perumahan berlaku banjir kilat yang dilaporkan jam 8.16 malam.

"Sebanyak empat mukim di daerah itu dinaiki air membabitkan 15 kampung dan dua kawasan perumahan yang menyebabkan 291 keluarga terjejas dinaiki air," katanya, hari ini.

Mohd Muaz berkata, antara lokasi terjejas adalah di Mukim Pekula, Kampung Kepala Bukit dan Kampung Masjid di Mukim Pinang Tunggal, Kampung Kilang Macau dan Mukim Sidam Kiri.

"Mukim Sungai Petani membabitkan Kampung Gelugur, Kampung Bukit, Kampung Tepi Sungai, Kampung Raja, Kampung Raja Watt Siam, Kampung Bengki, Kampung Bukit Sera, Kampung Haji Wahab, Kampung Bukit Belah, Kampung Titi Mandi Lembu, Taman Kenari Jaya dan Taman Kampung Raja," katanya.

Sementara itu, tiada PPS dibuka di Yan setakat ini walaupun beberapa kawasan di daerah itu dilapor mengalami banjir malam tadi.

Antara kawasan yang terjejas adalah perkampungan sekitar Titi Hayun dan Batu Hampar selain pekan Yan turut dinaiki air setinggi antara 0.5 hingga 0.7 meter.

Berita Harian X