Khamis, 21 Oktober 2021 | 7:51am
26 daerah di Sabah kekal dalam zon merah, kecuali Kalabakan dalam zon jingga - Masidi. FOTO NSTP
26 daerah di Sabah kekal dalam zon merah, kecuali Kalabakan dalam zon jingga - Masidi. FOTO NSTP

Kalabakan kekal zon jingga

KOTA KINABALU: Kalabakan kekal berada dalam zon jingga selama tiga hari berturut-turut sejak Isnin lalu, menjadikan ia satu-satunya daerah bukan dalam zon merah di Sabah ketika ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kalabakan hanya mencatat satu kes semalam selepas dua hari berturut-turut tidak mencatat sebarang kes baharu.

"Pecahan daerah mengikut zon hari ini (semalam) menunjukkan satu daerah berada dalam zon jingga iaitu Kalabakan, manakala 26 daerah kekal dalam zon merah," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Daerah dalam zon jingga mencatat kurang daripada 40 kes aktif.

Semua 27 daerah di Sabah berada dalam zon merah COVID-19 sejak 9 Ogos lalu berikutan peningkatan mendadak kes hingga mencecah empat angka setiap hari dengan jumlah tertinggi sebanyak 3,487 kes pada 26 Ogos lalu.

Kes harian COVID-19 di Sabah bagaimanapun mula menunjukkan penurunan hingga di bawah 1,000 kes sejak akhir September lalu dan semalam mencatat 426 kes, yang terendah sejak 16 Julai lalu.

Sementara itu, Masidi berkata semua daerah di Sabah mencatat kes di bawah 50 semalam, dengan hanya lima daerah merekodkan peningkatan pada jumlah kecil atau sederhana.

"Antara daerah yang mencatat penurunan ketara ialah Kota Belud iaitu berkurang 78 kes kepada hanya 45 kes berbanding 123 kes semalam (kelmarin) dan Kudat berkurang 44 kes kepada hanya 10 kes hari ini (semalam)," katanya.

Masidi berkata, 96.48 peratus daripada 426 kes semalam adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 yang lazimnya hanya memerlukan rawatan dan penilaian di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Katanya, 905 pesakit COVID-19 di Sabah dilaporkan sembuh semalam, manakala 2,059 pesakit dilaporkan masih menerima rawatan.

Sebanyak 10 kes kematian berpunca daripada COVID-19 turut dilaporkan semalam iaitu tiga kes di Keningau, manakala masing-masing satu kes di Kudat, Sipitang, Pitas, Kota Kinabalu, Kota Marudu, Beluran dan Nabawan.

Berita Harian X