Rabu, 20 Oktober 2021 | 11:27pm

160 rumah terjejas banjir kilat di Yan

YAN: "Ini kali kedua rumah ibu bapa saya dan penduduk di Kampung Raga dinaiki air akibat hujan lebat, malah kawasan di Pekan Yan juga turut dinaiki air.

"Saya juga sempat melihat air deras ketika dalam perjalanan ke rumah bapa yang seakan sama seperti kejadian kepala air sebelum ini," kata Murshirul Umar, 39.

Hujan lebat di sekitar Gunung Jerai sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilapor mengalami banjir malam ini.

Antara kawasan terjejas, perkampungan sekitar Titi Hayun dan Batu Hampar, selain pekan Yan yang turut dinaiki air setinggi antara 0.5 hingga 0.7 meter.

Murshirul berkata, ketika kejadian bapanya, Umar Abu Yazid dan ibunya, Siti Aisyah Hanafi tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya menutup lubang dalam rumah bagi mengelak air memasuki rumah mereka.

Katanya, barangan dalam rumah turut ditenggelami air sedalam 0.5 meter akibat air yang turun terus dari arah gunung.

Keadaan banjir di Pekan Yan. - Foto ihsan pembaca
Keadaan banjir di Pekan Yan. - Foto ihsan pembaca

"Kalau tengok air deras berlaku hari ini nampak teruk juga, tetapi alhamdulillah sebab pihak berkuasa sudah mengorek kawasan ini susulan kejadian kepala air yang berlaku Ogos lalu menyebabkan air tidak laju masuk ke dalam rumah," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, keadaan di Pekan Yan juga ditenggelami air dan masih belum surut ketika ini disebabkan hujan lebat.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung banjir kilat di daerah Yan jam 6.30 petang.

Katanya, sebanyak 60 rumah dilaporkan terjejas dalam kejadian banjir di daerah itu antaranya Kampung Perigi, Kampung Raga, Titi Bakong, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan dan Pulau Chengai Mukim Yan.

"Setakat ini, Pekan Yan masih ditenggelami air dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil,

"Lokasi kedua pula membabitkan Pekan Singkir Darat, Singkir Kedai Keling, Singkir Genting dan Mukim Singkir. Sebanyak 100 rumah dilaporkan terjejas di kawasan itu," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rumah yang terjejas akibat kejadian banjir kilat di daerah Yan adalah sebanyak 160 rumah.

"Saya nasihatkan penduduk di daerah Yan supaya berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya rumah dinaiki air dan terus menghubungi pasukan penyelamat untuk memudahkan operasi menyelamat," katanya.

Rumah penduduk di Pekan Yan yang dinaiki air dalam kejadian banjir kilat sejak petang tadi. - Foto ihsan pembaca
Rumah penduduk di Pekan Yan yang dinaiki air dalam kejadian banjir kilat sejak petang tadi. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X