Rabu, 20 Oktober 2021 | 10:56pm
Ismail Sabri mengajak semua Keluarga Malaysia mendoakan kesihatan anggota JBPM Melaka, Mohd Diya yang ditimpa kemalangan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Melaka hari ini. Mangsa yang kini dirawat di Hospital Melaka dilaporkan masih belum sedarkan diri. - Foto NSTP
Ismail Sabri mengajak semua Keluarga Malaysia mendoakan kesihatan anggota JBPM Melaka, Mohd Diya yang ditimpa kemalangan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Melaka hari ini. Mangsa yang kini dirawat di Hospital Melaka dilaporkan masih belum sedarkan diri. - Foto NSTP

Keluarga Malaysia doakan kesihatan anggota bomba - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak semua Keluarga Malaysia mendoakan kesihatan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka Tengah yang ditimpa kemalangan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Melaka hari ini.

Perdana Menteri berkata, anggota itu, Mohd Diya Che Jusoh, dilaporkan masih belum sedarkan diri selepas terbabit dalam kemalangan ketika operasi dijalankan di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh.

"Mendapat perkhabaran dukacita seorang anggota JBPM Melaka Tengah, Mohd Diya Che Jusoh, ditimpa kemalangan sewaktu operasi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh dan dia masih belum sedarkan diri.

"Ayuh kita semua warga Keluarga Malaysia bersama-sama menadah doa ke hadrat Allah SWT supaya keadaan mangsa bertambah baik dan sihat seperti sedia kala," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Ismail Sabri turut mengingatkan semua rakyat supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga berikutan hujan lebat di seluruh negara, manakala beberapa kawasan dinaiki air.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang tadi, Mohd Diya, 46, tidak sedarkan diri selepas rebah ke dalam air banjir ketika menjalankan operasi menyelamat.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Mangsa kemudiannya rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras, namun disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa.

Berita Harian X