Ahad, 17 Oktober 2021 | 5:17pm
Gambar hiasan. - Foto fail EPA
Gambar hiasan. - Foto fail EPA

3 pemimpin UMNO tentukan calon PRN Melaka, PRU-15

KUALA LUMPUR: Senarai calon UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diputuskan oleh tiga pemimpin tertinggi parti itu, bukan lagi oleh Presiden sahaja.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mereka ialah Perdana Menteri merangkap Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan beliau sendiri.

"Yang akan memuktamadkan calon-calon pilihan raya negeri dan juga pilihan raya umum akan datang bukan daripada Presiden saja.

"Tiga orang yang akan memutuskannya iaitu Perdana Menteri sendiri, Timbalan Presiden dan Presiden UMNO yang juga menjadi Pengerusi Barisan Nasional (BN), tiga orang ini yang akan memuktamadkannya.

"Namun jika ketiga-tiga mereka ini bersetuju tetapi tidak dipersetujui Pengerusi BN, maka watikah itu tidak akan ditandatangani," katanya dalam ucapan perasmian penutupan Pidato Piala Presiden UMNO, petang ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid, berkata perkembangan terbaru itu menunjukkan kerjasama yang baik dalam kalangan mereka bertiga.

Katanya, mereka juga sepakat bahawa kriteria kebolehmenangan (winnable), kebolehterimaan (acceptable) dan kebolehsenangan (likable) akan digunakan untuk memilih calon yang sesuai.

"Ini bukan soal lobi, bukan soal kipas tetapi kami bertiga bersetuju dengan calon yang mempunyai kriteria winnable, acceptable dan likeable," katanya.

Berita Harian X