Khamis, 14 Oktober 2021 | 11:01am
Bendahari Kehormat Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF Society), Dr Teckwyn Lim (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil pejabat Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor mengenai isu status projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah (BCFR) dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), semalam. - Foto BERNAMA
Bendahari Kehormat Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF Society), Dr Teckwyn Lim (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil pejabat Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor mengenai isu status projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah (BCFR) dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), semalam. - Foto BERNAMA

NGO dakwa nyahwarta Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah mengelirukan

SHAH ALAM: Kerajaan negeri digesa menjelaskan status sebenar penyahwartaan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah di Seksyen U10 dekat sini yang didakwa mengelirukan.

Jurucakap Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACFS), Teckwyn Lim, berkata pihaknya mengharapkan satu pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, bagi mengetahui perkara sebenar.

"Kenyataan Loy Sian pada 24 September lalu merujuk kepada sebuah lakaran peta pewartaan PW1443 dinyatakan sebagai bukti, tetapi kami tidak menemukan sebarang maklumat yang mengesahkan proses penyahwartaan itu sudah dilakukan.

"Jadi, lebih baik jika kami dapat bertemu dengan secepat mungkin supaya kekeliruan isu ini dapat dijelaskan dengan segera," katanya selepas memohon temujanji kepada wakil exco berkenaan di Bangunan SUK di sini.

Lim berkata, mengikut Enakmen Perhutanan Selangor 1985, penyahwartaan hutan simpan kekal wajib diterbitkan dan disempurnakan melalui proses pemberitahuan di dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor.

"Undang-undang menyatakan semua penyahwartaan hutan simpan kekal wajib diterbitkan dalam Warta Kerajaan Negeri, tetapi peta PW1443 itu tidak pernah diterbitkan sama ada dalam Warta Kerajaan Negeri, surat khabar atau apa juga media.

"Oleh itu, ia adalah salah untuk menyatakan PW1443 adalah bukti penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah.

"Kami juga mendapatkan satu salinan peta terbitan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Selangor bernombor PW1443. Walaupun peta ini memang menunjukkan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah, namun tidak sama dengan kandungan dokumen Pemberitahuan Warta yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor 2006," dakwanya.

Lim berkata, SACFS juga mendesak untuk arahan henti kerja (stop-work order) dilaksanakan terhadap Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah sehingga penyelesaian masalah ini dan kata putus dikeluarkan.

Pada 24 September lalu, Loy Sian memaklumkan projek pembangunan berhampiran Bukit Cerakah dan Hutan Komuniti Shah Alam berada di luar kawasan hutan simpan kekal.

Katanya, kawasan hutan simpan kekal yang paling hampir dengan pembangunan itu adalah HSKBC dan Hutan Simpan Bukit Cerakah Tambahan.

"Hutan simpan ini dinyah warta beberapa kali sejak 1976 bagi tujuan pembangunan seperti Bandar Puncak Alam, Alam Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan lain-lain.

"Kini, Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal adalah seluas 1,298.86 hektar dan masih diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dalam kelas Hutan Perlindungan," katanya.

Berita Harian X