Khamis, 14 Oktober 2021 | 10:54am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

MTDC bantu tingkat sistem pendigitalan pengusaha PKS

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) memberi penekanan kepada pembangunan segmen robotik untuk memastikan syarikat tempatan mikro dan PKS bersedia mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus berkata strategik itu dapat dipacu menerusi pembabitan secara bersama dengan syarikat ekosistem MTDC.

Katanya, semua penerima dana agensi tersebut bukan sahaja menerima bantuan kewangan tetapi juga dalam pengurusan kewangan, pembangunan perniagaan dan latihan untuk warga kerja syarikat dalam bidang yang diperlukan.

"Penekanan terhadap syarikat mikro dan PKS kerana kita melihat apabila mereka ingin bersaing, antara aspek yang mereka perlu hasilkan ialah produk yang lebih kompetitif dan kadangkala memerlukan kepakaran dalam bidang automasi dan robotik.

"Oleh itu, kita melihat program untuk membantu usahawan meningkatkan teknologi mereka ke arah teknologi Industri 4.0 (i4.0)," katanya kepada Bernama.

Norhalim berkata, MTDC sebagai agensi pelaksana perlu memulakan perjalanan ke arah i4.0 dengan memfokuskan kepada pembangunan syarikat di bawahnya dan membolehkan mereka menjadi syarikat i4.0 pada masa depan.

Katanya, MTDC turut mengadakan kerjasama pelbagai hala dengan beberapa kementerian selain pihak berkepentingan dalam memastikan teknologi i4.0 dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam kalangan PMKS di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan syarikat yang terlibat berkongsi kepakaran mengenai i4.0 dengan PMKS seperti yang dilakukan oleh TechCapital Resources Sdn Bhd – sebuah syarikat yang menyediakan perisian dan kemudahan teknologi robotik.

Katanya, MTDC membantu TechCapital Resources untuk bekerjasama dengan usahawan PMKS dalam proses pemindahan teknologi, pengedaran dan usaha sama selain memberi latihan berkaitan teknologi.

"TechCapital turut menjalankan program latihan bukan sahaja melatih usahawan tempatan tetapi turut melatih guru dan pensyarah yang mengajar topik berkaitan dengan mendedahkan mereka kepada keperluan, misalnya – bagaimana robotik ini beroperasi dan bukan hanya dari sudut akademik sahaja," katanya.

Syarikat TechCapital Resources Sdn Bhd menghasilkan penyelesaian khas yang mengintegrasikan robotik dan teknologi automasi untuk perkakasan dan perisian, dikenali sebagai T-Robot.

T-Robot menghasilkan teknologi robot untuk meningkatkan tenaga kerja usahawan tempatan terutamanya PMKS.

Pada Expo 2020 Dubai, TechCapital Resources menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Terrabit Consulting DWC-LLC sebagai rakan penyampaian projek bagi T-Robot.

Ia turut memeterai MoU dengan Shaheena Foodstuffs Trading dalam bidang kerjasama robotik, penyelesaian pembuatan pintar, Internet Pelbagai Perkara (IOT) dan kecerdasan buatan (AI).

Penyertaan MTDC pada minggu kedua Expo 2020 Dubai itu diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana. – BERNAMA

Berita Harian X