Rabu, 13 Oktober 2021 | 5:41pm

Tapak warisan BBCC tawar kadar istimewa buat pengusaha tempatan

MALAYSIA antara negara yang mempunyai latar belakang menarik dengan pelbagai warisan budaya yang unik.

Melalui warisan budaya, ia dapat memupuk perpaduan antara rakyat selain menunjukkan sikap majmuk masyarakat yang saling menghormati.

Misalnya, amalan dan cara hidup pelbagai kaum seperti pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya.

Malah, keunikan ini telah mewujudkan tarikan utama buat pelancong yang berkunjung ke Malaysia, sekaligus membantu meningkatkan ekonomi negara.

Namun, jika dilihat pada hari ini, warisan budaya tempatan kian dilupakan kerana kurangnya pendedahan kepada umum ekoran arus pemodenan yang semakin berleluasa.

Hal ini sekaligus memberi kesan terhadap kebudayaan warisan sesebuah bangsa pupus ditelan dek zaman.

Justeru, budaya tradisional ini harus dikekalkan sebaik-baiknya agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Pembangunan BBCC lambang sejarah warisan Malaysia

ImageBagi mengekalkan budaya warisan, pelbagai usaha haruslah dilakukan oleh semua pihak bagi memastikan warisan unik Malaysia terus kekal dan relevan pada masa akan datang.

Sejajar dengan hasrat itu, UDA Holdings Bhd bersama dengan rakan usaha sama Eco World Development Group Berhad and Kumpulan Wang Simpanan Pekerja merangka pelan pembangunan industri berteraskan warisan menerusi projek Bukit Bintang City Centre (BBCC).

Dibina di bekas tapak bersejarah Penjara Pudu Kuala Lumpur, projek pembangunan komersial BBCC selari dengan objektif utama bagi mewujudkan daya tarikan baru untuk ibu kota Malaysia.

Bukan itu sahaja, projek ikonik ini berjaya mengubah kawasan sekitar menjadi pusat bandar yang gah, sekaligus meningkatkan struktur kota di kawasan Bukit Bintang.

Sedia bantu usahawan tempatan

Dalam pada itu, BBCC turut berusaha membawa lebih banyak usahawan tempatan untuk menjadi sebahagian daripada komponen Malaysia Grand Bazaar (MGB).

Ketua Pegawai Eksekutif Bukit Bintang City Center Development Sdn Bhd, Low Thiam Chin, berkata MGB bertujuan untuk menawarkan platform khusus untuk usahawan baharu untuk memasarkan produk mereka di bawah satu bumbung.

Selain itu, MGB memperkenalkan skema menarik untuk peniaga yang mendaftar sebagai penyewa dengan melancarkan kedai MGB Global yang mana peniaga dapat memulakan perniagaan e-dagang eksport.

Dengan kerjasama MGB Global, jenama tempatan dapat segera mengeksport produk mereka ke pasaran AS melalui pasaran global seperti Amazon, eBay, etsy dan kedai digital MGB Global.

Inisiatif ini sekaligus membantu para peniaga tempatan mempamerkan produk mereka termasuk seni, kraf dan perdagangan tradisional dan kontemporari yang terkenal di Malaysia ke seluruh dunia.

Sewa dengan harga berpatutan

ImageAntara kemudahan lain ditawarkan kepada peniaga adalah kadar sewa yang berpatutan, maka peniaga tempatan tidak perlu risau untuk mengembangkan bisnes mereka di MGB.

Malah, MGB juga menawarkan harga kadar istimewa untuk peniaga yang mendaftar awal selain dari sokongan pemasaran percuma yang pastinya memberi manfaat kepada mereka.

Lebih menarik, pusat komersial ini merupakan pusat membeli-belah pertama di Kuala Lumpur yang menggabungkan ciri 'urban rooftop park', disatukan dengan ciri landskap bertingkat dan kawasan terbuka.

Ini sekaligus menjadikan suasana rekreasi seperti di luar rumah sambil melihat pemandangan hijau dalaman.

Terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, BBCC pasti menjadi pilihan pengunjung dan pelancong dengan kemudahan akses yang mudah dan selesa melalui perhubungan keretapi dan hab transit - yang menghubungkan monorel dan LRT Hang Tuah serta MRT stesen Merdeka.

Keseluruhan pembinaan projek ikonik BBCC merangkumi kawasan seluas kira-kira tujuh hektar dengan keseluruhan kawasan binaan 6.7 juta kaki persegi.

Ia membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDP) RM8.7 bilion.

Sehingga kini, seramai 40 penyewa telah mendaftar di MGB menjelang pembukaannya pada suku pertama tahun 2022.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Malaysia Grand Bazaar (MGB), layari laman sesawang MGB di https://mgb.my/ atau ikuti perkembangan terbaharu menerusi akaun Facebook dan Instagram.

Berita Harian X