Rabu, 13 Oktober 2021 | 4:08pm
(Gambar fail) Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA

Pelan induk pacu budaya kerja selamat, sihat

PUTRAJAYA: Tujuh teras strategik digariskan dalam Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25), menjadi pemacu kepada pembentukan 'Budaya Kerja Selamat dan Sihat', sekali gus membantu meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan jangka sederhana itu dirangka dengan mengambil kira senario pekerjaan kini yang berubah susulan cabaran persekitaran global yang dijangka semakin kompetitif akibat pandemik COVID-19.

Berikutan penularan COVID-19, Perdana Menteri berkata, ruang rumah setiap ahli Keluarga Malaysia, kafe, gerai dan restoran kini menjadi ruang pekerjaan.

Justeru, beliau berkata, tujuh teras strategik membabitkan amalan budaya kerja selamat itu sangat penting untuk dipatuhi oleh semua.

"Tujuh teras berkenaan ialah yang pertama, Pemerkasaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sektor awam; kedua, Pengukuhan amalan peraturan kendiri di tempat kerja; ketiga, Penggalakan pendidikan dan penyelidikan KKP.

"Keempat, Pemerkasaan kesihatan pekerjaan; kelima, Peningkatan pematuhan KKP di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS); keenam, Pemantapan KKP melalui teknologi; serta ketujuh, Peningkatan KKP berkaitan jalan raya WRRS, sektor informal dan pekerjaan masa hadapan (future jobs)," katanya ketika berucap melancarkan OSHMP25 secara maya, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Timbalan Menterinya merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Datuk Awang Hashim; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pelan itu akan mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dengan mengurangkan kadar kemalangan, kematian serta jangkitan penyakit, sekali gus membantu usaha kerajaan meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, negara boleh mengalami kerugian sebanyak empat peratus daripada perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun, akibat pengabaian KKP.

Perdana Menteri turut menekankan, keutamaan kerajaan ialah mengelakkan kehilangan nyawa ahli Keluarga Malaysia.

Sejak merdeka, katanya, kerajaan berjaya meningkatkan purata pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia secara berterusan, dengan disokong kepesatan ekonomi melalui usaha merancang pertumbuhan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Beliau berkata, kesinambungan perancangan itu dapat dilihat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan pada 27 September lalu.

"Perkembangan pesat ekonomi ini sebenarnya turut disokong tenaga kerja di mana bakat, kemahiran dan kepakaran mereka memacu kemajuan serta meningkatkan pendapatan negara.

"Namun, kita harus menerima hakikat bahawa dunia dan negara masih berdepan pandemik COVID-19 yang bukan saja mengancam kesihatan awam, malah memberi kesan terhadap aspek ekonomi serta sosial.

"Pandemik COVID-19 turut memberi kesan kepada hampir semua aspek pekerjaan. Penularan virus di tempat kerja ialah antara risiko KKP, yang menuntut kerajaan, majikan dan pekerja untuk mengambil langkah mencegah penyebaran penyakit itu," katanya.

Ismail Sabri berkata, persekitaran global yang dijangka semakin kompetitif akibat pandemik itu turut menuntut peralihan drastik kepada norma baharu pekerjaan, seperti bekerja dari rumah dengan peningkatan aktiviti dalam talian.

Beliau berkata, ia juga membuka banyak peluang bagi warga kerja, manakala pekerja tidak semestinya berada di pejabat.

"Semakin ramai akan beroperasi dari rumah apabila kebanyakan komunikasi, mesyuarat dan transaksi kewangan dilakukan secara maya.

"Apa yang membimbangkan, perubahan ini turut mendedahkan pekerja kepada risiko keselamatan dan kesihatan seperti masalah berkaitan ergonomik yang antara lain berkait dengan postur badan ketika menggunakan komputer atau gajet.

"Pekerja yang terlalu lama terkurung di rumah juga terdedah kepada masalah psikososial, terutama tekanan mental dan kelemahan interaksi sosial.

"Situasi baharu ini menuntut kerajaan mengambil tindakan afirmatif bagi memastikan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan kondusif terus diwujudkan," katanya.

Berita Harian X