Selasa, 12 Oktober 2021 | 1:40pm
KKM belum mempunyai sebarang ketetapan masa untuk melaksanakan pemberian dos suntikan penggalak vaksin COVID-19. - Foto NSTP
KKM belum mempunyai sebarang ketetapan masa untuk melaksanakan pemberian dos suntikan penggalak vaksin COVID-19. - Foto NSTP

Belum tetap tempoh pemberian dos penggalak - KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) belum mempunyai sebarang ketetapan masa untuk melaksanakan pemberian dos suntikan penggalak vaksin COVID-19 dalam memastikan keberkesanan pelalian itu.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata ini kerana pelaksanaan langkah itu perlu diputuskan dengan mengambil kira keperluan vaksinasi dunia berikutan masih ada negara yang ketinggalan dari segi pemberian pelalian terbabit.

Selain itu, katanya, 'lampu hijau' untuk memberi dos penggalak vaksin COVID-19 sedang menunggu pelaksanaan pemberian pelalian itu dalam kalangan remaja.

"Dos penggalak memang banyak dibahaskan sekarang ini dan bagi Malaysia, kita sudah membuat keputusan tetapi masa belum dapat ditetapkan lagi.

"Tetapi, kita akan bagi dos penggalak ini kepada petugas kesihatan dan mereka berusia lebih 60 tahun yang ada komorbiditi. Dos penggalak ini untuk meningkatkan imuniti.

"Sekarang ini kita belum meneruskan pelaksanaan ini (pemberian dos penggalak) kerana masih menunggu untuk vaksin remaja dan sebagainya. Kita juga mengikut kehendak dunia, di mana di bawah COVAX, ada negara yang masih ketinggalan dari segi vaksinasi yang perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin lebih banyak," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai bila kerajaan akan melaksanakan pemberian dos penggalak di negara ini.

Menjawab soalan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) berhubung berapa jumlah vaksin dibeli kerajaan, Aaron Ago berkata, setakat 13 September lalu, kerajaan menempah sebanyak 87.9 juta dos vaksin.

Katanya, kos anggaran tempahan itu sebanyak RM4.64 bilion meliputi kos vaksin dan logistik.

Berita Harian X