Ahad, 10 Oktober 2021 | 2:02pm
PILIHAN raya negeri semakin pasti diadakan selepas krisis politik menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan. - Foto hiasan
PILIHAN raya negeri semakin pasti diadakan selepas krisis politik menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan. - Foto hiasan

Tiada dua 'singa' atas mana-mana gunung di Melaka

PILIHAN raya negeri semakin pasti diadakan selepas krisis politik menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan. Pelbagai isu melingkari krisis termasuk dakwaan wujudnya dua 'singa' dalam pentadbiran Melaka.

Wartawan BH, Saiful Haizan Hasam dan Amir Mamat mendapatkan penjelasan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, mengenai isu ini, selain pandangan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, sama ada PRN sesuai dalam situasi pandemik semasa.

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Soalan (S): Datuk Seri didakwa 'membayangi' Ketua Menteri Melaka dalam membuat keputusan. Apa komen?

Jawapan (J): Saya menggariskan untuk diri saya bidang kuasa yang perlu dilakukan dan tidak lakukan. Saya hormati bidang tugas Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri dan tidak akan sekali-kali melanggar garis panduan yang saya tetapkan sendiri. Alhamdulillah, selama 19 bulan saya praktikkan dan akur dengan panduan itu sehingga kini.

S: Bagaimana pula tuduhan Datuk Seri terbabit projek tambak laut di pesisir pantai negeri Melaka?

J: Berkaitan isu tambak laut mengaitkan saya, ia satu fitnah jahat pada peringkat tertinggi untuk mencemarkan nama baik saya dan Ketua Menteri. Sepanjang pentadbiran (Sulaiman) pada 9 Mac 2020 hingga kini, tidak ada apa-apa kelulusan projek penambakan laut dibuat kerana beberapa minggu mengambil alih pentadbiran kerajaan, wabak COVID-19 melanda dan semua aktiviti ekonomi dan pembangunan dihentikan serta-merta.

Jadi kalau nak mengaitkan saya dengan isu tambakan laut ini tidak benar dan satu tohmahan 'high level' (peringkat tinggi) membabitkan saya dengan Ketua Menteri. Jangan pandang serong kerana semua projek tambakan laut itu dibuat ketika Datuk Seri Idris Haron menjadi ketua menteri dan dia perlu bertanggungjawab.

S: Dakwaan 'dua singa di atas satu gunung'. Boleh ulas?

J: Sebenarnya tidak wujud pun dua singa dalam mana-mana bentuk gunung di Melaka ini, sama ada dalam kerajaan negeri ataupun Perhubungan UMNO negeri. Tidak ada diterjemahkan kedua-dua yang mengurus tadbir negeri dan yang menguruskan urusan politik ini sebagai dua singa yang nak menguasai apa juga kuasa kerajaan negeri.

Anggapan ini tidak lain dan tidak bukan untuk mencemarkan imej kami berdua kerana kenyataan 'terdesak' itu adalah untuk beliau (Idris) menghalalkan cara bagi mencapai matlamatnya, iaitu ingin kembali menjadi Ketua Menteri seperti dirancangnya bersama dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH).

S: Ramai melihat BN khususnya UMNO tidak mungkin menang jika bertanding sendirian dalam PRN. Apa komen?

J: Pada 7 Oktober lalu, Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sudah menyatakan beliau ingin melihat 'The Real Muafakat Nasional' (Muafakat Nasional yang sebenar) berlaku di Melaka. Beliau mahu kedua-dua parti iaitu UMNO dan PAS kembali duduk bersama dan membincangkan hala tuju muafakat yang dipersetujui sebelum ini.

Saya sangat terbuka kepada kenyataan Presiden dan UMNO Melaka akan membuat penilaian mengenai kedudukan kita dalam menghadapi PRN akan datang berdasarkan kepada kajian yang kami lakukan sebelum ini. Kita mengharapkan, Muafakat Nasional (MN) akan menjadi kenyataan menerusi penyatuan ummah, sesuai dengan semangat yang sudah kita berikan sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai lalu. Jadi, saya berharap MN kembali bersama-sama dengan asas perjuangan penyatuan ummah dua parti Melayu terbesar di Malaysia ini.

S: Penjajaran politik dalam PRN Melaka 'ujian' kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Apa komen?

J: Saya lebih menjurus kepada kesepakatan ditunjukkan pada PRN Sabah. Mana yang terbaik akan dijadikan teladan, mana yang tak baik akan dijadikan sempadan. Saya melihat jajaran untuk kita hadapi PRN ini lebih baik UMNO dan PAS duduk berbincang ke arah mendapatkan semula semangat MN, bersesuaian kenyataan Presiden UMNO.

Jika Melaka hendak dijadikan litmus test' (ujian) - menunjukkan bahawa Melaka menjadi ukuran dan jadi garis panduan untuk PRU - maka kita perlu merealisasikan 'The Real Muafakat Nasional' demi kepentingan Melayu dan ummah.

S: Ada kemungkinan senario majoriti tipis atau tiada siapa dapat majoriti selesa boleh berulang dalam PRN Melaka. Apakah rakyat akan terus hadapi kemelut politik lagi selepas ini?

J: Saya harap rakyat Melaka sedar kesilapan dibuat pada PRU lalu dan dijadikan pengajaran supaya kestabilan politik dapat direalisasikan dalam mengurus sesebuah kerajaan. Jadi, kalau kita melihat PRU lalu, kita tidak dapat membentuk kerajaan kerana isu semasa diperbesarkan serta mempengaruhi minda pengundi, sekali gus menjerumuskan BN dalam kancah kekalahan.

Apabila rakyat merasai sendiri keperitan di bawah pemerintahan PH selama 22 bulan dan diizinkan Allah SWT untuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan, maka kita dapat melihat dua faktor pemerintahan berbeza antara PN dan kerajaan sedia ada sekarang. Sepanjang 19 bulan pentadbiran Sulaiman sebagai Ketua Menteri, walaupun rakyat 'dikurung' dalam suasana pandemik COVID-19, beliau berjaya mengeluarkan kurungan rakyat ini kepada negeri yang sudah melangkah masuk ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

S: Mengapa BN lebih cenderung ke arah PRN ketika ramai khuatir ia mungkin mencetuskan risiko berkaitan COVID-19?

J: Saya percaya selepas negara melepasi lebih dua tahun dalam mengawal penularan wabak ini, kerajaan sudah mendapat formula terbaik dan sudah pasti kaedah pelaksanaan PRN Melaka akan dijadikan contoh kepada pelaksanaan PRU akan datang.

Sesungguhnya, tiada siapa pun ingin mengadakan PRN dalam suasana pandemik, tetapi disebabkan asakan dan desakan politik berpunca gabungan PH dengan empat ADUN yang meruntuhkan kerajaan negeri, kita tidak mempunyai pilihan melainkan menyerahkan semula mandat kepada rakyat menerusi pilihan raya.

Alhamdulillah, 80 peratus penduduk dewasa Melaka sudah divaksin dan ini dapat dinilai sendiri oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada sesuai atau sebaliknya PRN diadakan di Melaka.

Tukar KM bukan seperti salin pakaian

Datuk Seri Idris Haron.
Datuk Seri Idris Haron.

Soalan (S): Datuk Seri sering menggunakan analogi dua ekor singa, mengapa tidak berterus-terang?

Jawapan (J): Kita ada pelbagai cara, saya dididik dengan cara dan budaya Melayu yang mengajar kita - jika bertikam pun kita masih boleh berpantun. Bukankah sudah terang lagi bersuluh, (kerana) akhirnya hari ini seluruh negara dapat melihat siapa 'lebih sudu daripada kuah' apabila Ketua Menteri (Datuk Seri Sulaiman Md Ali) yang sepatutnya membuat satu-satu pengumuman penting hanya berdiam diri, sebaliknya ada orang lain pula yang 'hidung tak mancung pipi tersorong-sorong'.

S: Apakah Datuk Seri sudah menggunakan saluran parti untuk menyampaikan apa yang berlaku?

J: Saluran parti sudah ditutup pada setiap peringkat. Dari segi struktur parti, tiada ruang walaupun saya menang dalam pilihan raya umum (PRU). Saya bukan sahaja ditolak, tetapi dinafikan hak dan dicerca.

Dalam mesyuarat mingguan EXCO, saya antara paling banyak menegur dan mengingatkan ahli termasuk Ketua Menteri. Boleh semak rakaman atau catitan minit mesyuarat - sehingga mengingatkan ahli supaya menghormati keputusan mesyuarat tertinggi dalam negeri. Namun ingatan itu sia-sia kerana ada lagi kuasa tertinggi selepas itu.

Saya yakin semua mengetahuinya, tetapi menyimpannya dalam hati. Siapa 'King' dan siapa Ketua Menteri, ia bukan persepsi, saya tak rela diperlakukan sedemikian, ini (tarik balik sokongan) adalah tindakan terbaik bagi membuka mata semua.

S: Apa komen mengenai keputusan pengguguran keahlian Datuk Seri dalam parti?

J: UMNO boleh mengambil tindakan kepada ahli yang melanggar tata etika parti, namun ia mestilah istiqamah dan jangan ada hukuman terpilih. Pengerusi UMNO negeri (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) dan Timbalannya (Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad) mengadakan perbincangan menyelamatkan kerajaan yang hampir tumbang dengan pelbagai tawaran, sedangkan tiada sebarang panggilan untuk saya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan sehingga YB Nor Azman terlantar sakit pun tidak diberi perhatian.

Bagaimana dengan dasar parti yang menyatakan No DAP No Anwar'? Saya yakin mereka (Ab Rauf dan Mohamad) akan selamat daripada sebarang tindakan. Jadi, hak untuk didengar dan 'natural justice' (keadilan semula jadi) mesti dihayati.

Bangunan Dewan Undangan Negeri bertempat di Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka. - NSTP/Syafeeq Ahmad
Bangunan Dewan Undangan Negeri bertempat di Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka. - NSTP/Syafeeq Ahmad

S: Tidakkah langkah ini bertentangan titah Yang di-Pertuan supaya ketepikan 'politiking'?

J: Ini bukan politiking. Perlembagaan atas segalanya, jika pembubaran mengikut semangat Perlembagaan, ia wajar. Namun jika ada sebarang usaha menidakkan Perlembagaan oleh tangan tertentu, ini akan mencemarkan institusi Yang di-Pertua Negeri Melaka sebagai simbol perpaduan dan keharmonian negeri.

Jangan ada sebarang campur tangan mana-mana pihak. Rakyat melihat ketika negeri dilanda pandemik COVID-19, Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan semestinya ia akan diikuti Pilihan Raya Negeri (PRN). Selepas bubar, yang mengumumkan pembubaran itu pula kata tak boleh pilihan raya kerana pandemik. Jika begitu kenapa bubar?

Rakyat melihat dan menilai apa berlaku. Ini lebih membawa padah apabila pertukaran kepemimpinan yang sepatutnya berlaku secara harmoni sudah menjadi isu dan dikhuatiri boleh menjadi krisis Perlembagaan dan memalukan Malaysia di mata dunia. Saya tak pasti apa ditakutkan sangat. Apa sahaja tindakan boleh menggugat keharmonian negara harus disisihkan.

Tindakan empat ADUN tarik sokongan kepada Ketua Menteri bukan tindakan politiking. Tindakan menasihati Tuan Yang Terutama (TYT) untuk membubarkan yang membawa kepada pilihan raya ketika hilang majoriti itulah sebenarnya politiking dan bercanggah titah Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi tidak mengikut semangat Perlembagaan dan boleh mencemar kewibawaan institusi TYT.

S: Apa komen mengenai spekulasi kononnya Datuk Seri berhasrat menduduki kembali jawatan Ketua Menteri?

J: Menduduki kerusi Ketua Menteri bukannya seperti tukar pakaian. Oleh kerana gabungan baharu ini mempunyai latar belakang berkepelbagaian dan kebolehan iktisas, ia tidak mudah. Namun, jika PH memilih saya, ia mungkin kerana ada kualiti diharapkan mereka, bukan dengan hanya ditunjuk-tunjuk dan menjadi budak suruhan.

S: Selepas digugurkan daripada UMNO, apa perancangan Datuk Seri selepas ini?

J: Saya masih bebas selepas dipecat. PH satu pilihan dan ramai pemimpin parti menghubungi saya bertanya khabar dan berita, sama-samalah kita tunggu biarlah kemelut ini selesai dahulu.

Minimumkan risiko jika PRN tidak dapat dielak

Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

Soalan (S): Apa reaksi pakar kesihatan awam apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubar dan Pilihan Raya Negeri (PRN) mungkin diadakan?

Jawapan (J): Rata-ratanya marah. Kenapa nak buat masa ini dan apa keperluannya kepada rakyat? Apa sahaja langkah politik, fikirlah sama kesannya kepada rakyat. Lagipun kita sudah dekat dengan pilihan raya umum (PRU).

Ambil kira juga kos PRN sewaktu peruntukan kesihatan masih tak cukup dan doktor kontrak masih ramai tak dapat diserap. Apabila peruntukan kerajaan beralih kepada PRN, maka pesakit kita akan terjejas. Mangsanya adalah rakyat, walhal ia bukan masalah rakyat.

Puncanya ahli politik - mereka menyusahkan rakyat. Di pihak rakyat kebanyakan, mereka sudah berkorban dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Sewaktu kita semua seronok nak dapat kebenaran rentas negeri, tiba-tiba ada risiko untuk tutup balik. Itu yang kami marah. Bagaimanapun kami di pihak kesihatan sentiasa bersedia hadapi PRN Melaka, walaupun marah dan tak suka.

S: Katakan PRN Melaka itu tidak ada dan dengan mengambil kira situasi semasa, apa penilaian berkenaan status pandemik negara?

J: Pakar sudah kaji semua aspek dan kami yakin boleh masuk ke fasa endemik bila-bila masa, termasuk sudah boleh rentas negeri. Kami kaji model luar negara dan berdasarkan semua data dan pengalaman, kalau tiada PRN Melaka dan isu lain, Insya-Allah pada Januari depan kita boleh kembali kepada normal. Malah, pelitup muka pun tak perlu pakai setiap masa di luar rumah. Seperti di Eropah, keluar rumah tak perlu pakai pelitup muka, kecuali bila berada di tempat tertentu seperti restoran atau sekolah.

S: Apakah 'marah' dimaksudkan tadi merujuk petunjuk PRN Melaka sebenarnya tak selamat?

J: PRN Melaka bukan tak selamat, tetapi berisiko tinggi. Maknanya, kalau terpaksa buat, kita kena susun atur betul-betul untuk mengelak risiko bahaya yang tinggi. Analoginya begini, ada orang sakit jantung, kita nak bedah atau tidak. Kalau bedah ada risiko, tak bedah pun ada risiko. Namun kalau terpaksa bedah, SOP pembedahan kena jaga dan kita buat jangkaan hasilnya boleh berjaya atau tidak. Kita kena buat persiapan macam itu, tak boleh terus kata tak boleh buat pembedahan.

Dalam konteks PRN Melaka, ia terpaksa dibuat kerana DUN sudah bubar. Situasinya seperti terpaksa buat pembedahan yang saya sebut tadi - boleh buat PRN, tetapi SOP kena jaga. Mesejnya mudah, kalau boleh elak, kita elak. Kalau tak boleh elak, ketatkan SOP dan peraturan. Kalau tak ketat, kita akan terima padahnya. Kecuali jika ada darurat. Namun bagi saya kalau nak daruratkan Melaka pun tak berapa bagus buat masa sekarang.

S: Apa paling kritikal perlu diberi perhatian dalam melaksanakan PRN Melaka?

J: Kerajaan perlu pantau situasi sehingga PRN. Adakah wujud kes dan kluster baharu dari Melaka atau mana-mana tempat di Malaysia. Begitu juga kewujudan mutasi atau varian baharu virus COVID-19 seperti Delta, Beta, Lambda dan Mu. Kesiapsiagaan hospital di Melaka juga perlu diambil kira.

Sekarang kita tengok situasinya mula stabil, tetapi jika di pertengahan atau dekat-dekat PRN berlaku penularan besar-besaran, kita kena ambil tindakan segera sama ada hentikan (PRN) atau gunakan apa cara supaya PRN tidak dilaksanakan.

SPR juga mesti kuat kuasa SOP ketat sepanjang tempoh kempen PRN. Contohnya, kempen tidak dibuat secara bersemuka, perlu lengkapkan dua dos vaksin dan hadkan pergerakan dari luar melalui larangan rentas negeri di Melaka. Pun begitu, kelonggaran boleh diberikan kepada beberapa pemimpin utama parti dan kementerian atau agensi kerajaan untuk masuk ke kawasan PRN.

Untuk parti politik, mungkin boleh dihadkan kepada 10 orang seperti Presiden parti dan kepimpinan tertinggi. Jadi tak perlu lagi satu kementerian atau agensi pergi, semua menteri pergi seperti dalam pilihan raya sebelum pandemik dulu.

S: Adakah cukup dengan memperketatkan SOP semata-mata?

J: Kalau varian Delta, kita boleh katakan dalam 80 peratus kes berlaku sekarang berpunca varian ini kerana varian asal virus sudah tidak ada. Namun pemantauan berterusan terhadap varian baharu lain seperti Lambda dan Mu perlu diteruskan dan maklumatnya mesti disalurkan kepada pihak berkaitan.

Soal penyebaran banyak bergantung SOP kerana virus masuk melalui saluran pernafasan. Jika kita patuhi SOP, pakai pelitup muka, ada penjarakan sosial dan ditambah perlindungan vaksin, kita sudah menghampiri 80 peratus pencegahan.

Kita kena jelas. Pertama, tiada pendekatan 'zero-sum game' - maksudnya untuk dapat sifar kes adalah mustahil. Kedua, kita tengok sama ada kaedah dan prosedur yang ada boleh mengawal penyakit. Hal ini bergantung dua perkara iaitu vaksin dan tingkah laku manusia. Apabila vaksin kita tinggi, kita boleh kurangkan risiko daripada 100 peratus kepada sekurang kurangnya 60 hingga 70 peratus.

Dari aspek tingkah laku manusia, dengan adanya kawalan, pemantauan, pengetahuan, SOP dan lain-lain, kita dapat kurangkan lagi risiko. Kalau daripada vaksin dapat turunkan risiko sebanyak 40 peratus, ditambah pematuhan SOP, kita turun lagi 40 peratus. Jadi risiko kita tinggal 20 peratus.

Kepada sesetengah orang, dia kata tak boleh sebab ada risiko. Memanglah ada risiko, bomba naik jentera laju-laju nak padam api pun mesti ada risikonya. Memang kita tak boleh lari daripada risiko, tetapi kita boleh kawal risiko jadi minimum.

Sampai bila nak terlalu ketat (SOP)? Ini beri kesan kepada kesihatan termasuk kesihatan mental, ekonomi dan kehidupan sosial yang sangat teruk. Sekarang mana-mana negara bersedia hidup bersama COVID-19, teruskan. Kita kena faham mesti ada kes baharu dan kematian. Kita mesti terima hakikat kes mesti ada, tetapi kita minimumkan.

Berita Harian X