Sabtu, 9 Oktober 2021 | 1:49pm
 Foto AFP
Foto AFP

Perolehan, kelebihan Molnupiravir perlu diperjelaskan - Zahid

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu diberikan penjelasan lanjut berhubung perolehan ubat antiviral Molnupiravir daripada Merck Sharp & Dohme termasuk kelebihan ubat itu berbanding jenis lain.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ramai pihak tertanya-tanya mengapa Malaysia memilih Molnupiravir berbanding ubatan lain seperti Baricitinib, Dexamethasone, Remdesivir, Favipiravir, Ivermectin, Hydroxychloroquine, REGN-COV2(Casirivimab/imdevimab).

"Apa kelebihan Molnupiravir berbanding ubat lain yang telah lama terhasil dan dilaporkan terbukti berkesan di negara lain.

"Sebagai contoh Persatuan Farmasi Malaysia pada Julai lalu dilapor berkata formulasi Baricitinib bagi mencegah risiko pesakit kategori satu dan dua COVID-19 daripada menghidap radang paru-paru sudah banyak digunakan di luar negara.

"Ubat Baricitinib bersama-sama dengan Remdesivir dikatakan terbukti berkesan untuk merawat pesakit COVID-19 di hospital berdasarkan hasil kajian di luar negara. Justeru, perlu ada penjelasan lanjut mengenai perkara ini bagi meyakinkan rakyat terhadap langkah kerajaan menggunakan Molnupiravir di Malaysia," katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata, pembelian Molnupiravir dilihat sebagai harapan baharu dalam usaha membendung sepenuhnya ancaman berbahaya pandemik COVID-19.

"Kerajaan Malaysia akan membeli ubat antiviral Molnupiravir yang didakwa sudah terbukti secara klinikal dapat merawat pesakit COVID-19.

"Data daripada ujian klinikal menunjukkan ubat itu paling berkesan apabila digunakan pada peringkat awal jangkitan," katanya.

Beliau berkata, perolehan ubat antiviral dipertingkatkan sejurus penggunaannya didapati sangat berkesan di Malaysia.

"Buat permulaan kerajaan sudah membuat perjanjian perolehan ubat tersebut untuk 150,000 pesakit.

"Ini bagi mengelak isu perolehan pada masa depan ekoran tindakan membolot oleh negara kaya seperti yang pernah diperkatakan mengenai vaksin COVID-19," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menggesa harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 perlu diturunkan secepat mungkin.

"Ini supaya rakyat Malaysia dapat melakukan pemeriksaan kendiri sekerap mungkin sekali gus mengetahui pada peringkat awal kemungkinan sudah dijangkiti," katanya.

Berita Harian X