Sabtu, 2 Oktober 2021 | 9:56am
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki. - Foto NSTP
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki. - Foto NSTP

Akta biaya dana politik jadi panduan dikategorikan rasuah - SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui Akta Pembiayaan Dana Politik dapat dijadikan panduan kepada agensi itu untuk membezakan antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik yang boleh dikategorikan sebagai rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata ketika ini negara tidak mempunyai undang-undang khusus berhubung pembiayaan dana politik, namun Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) kini sedang menyiapkan draf undang-undang itu sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

"GIACC sudah siapkan draf undang-undang dana politik baru-baru ini yang saya juga terbabit dalam perbincangan…skop-skop tertentu sudah ditetapkan antaranya parti politik perlu melapor dan mengisytiharkan sebarang penerimaan dana daripada mana-mana pihak.

"Selain itu, menubuhkan satu 'regulator' atau 'comptroller' untuk mengawal selia dana politik kepada mana-mana pihak dalam parti politik di negara ini," katanya dalam wawancara khas secara maya baru-baru ini sempena Sambutan Ulang Tahun BPR/SPRM Ke-54 yang disambut semalam.

Azam berkata, sudah tiba masanya ahli politik bersetuju dalam melaksanakan undang-undang itu, contohnya dana politik untuk pilihan raya perlu dikawal atau tidak seperti yang berlaku di Amerika Syarikat yang membenarkan pembiayaan dana politik diberikan kepada parti tertentu dengan mengisytiharkan pemberi dana terbabit.

Katanya, ahli politik perlu menyokong pelaksanaan akta itu bagi membuktikan mereka bersih dan bebas daripada sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa, pada masa sama membuktikan kepada rakyat kepemimpinan telus dan berintegriti.

Beliau juga mengakui SPRM sukar untuk membezakan pemberian dana politik dengan rasuah, namun apabila menerima laporan berhubung seorang ahli politik menerima dana, SPRM akan menjalankan siasatan dan mengklasifikasikannya sebagai kes rasuah.

Pada Oktober 2019, kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Pembiayaan Dana Politik pada sesi Parlimen tahun seterusnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Liew Vui Keong menjelaskan, penyediaan rang undang-undang berkenaan akan memfokuskan aspek mengawal selia sumbangan politik dalam usaha kerajaan membentuk ekosistem negara yang bebas rasuah pada masa akan datang.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah, Azam berkata perkara itu sudah dikemukakan kepada JKMR bagi menjadikan agensi itu lebih bebas.

Azam berkata, dua cadangan yang dikemukakan iaitu pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat melalui Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta mewujudkan suruhanjaya perkhidmatan tersendiri.

"Apabila kita ada suruhanjaya perkhidmatan sendiri, kita boleh mencorakkan pentadbiran daripada segi pengambilan dan penamatan kakitangan serta pegawai tanpa dibentuk di bawah satu suruhanjaya yang umum seperti sekarang," katanya.

Ketika ini, urusan pengambilan atau penamatan perkhidmatan kakitangan dan pegawai SPRM di bawah seliaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). - BERNAMA

Berita Harian X