Sabtu, 25 September 2021 | 6:29pm
PROF Madya Zurina Hassan. - NSTP/Ihsan Prof Madya Zurina
PROF Madya Zurina Hassan. - NSTP/Ihsan Prof Madya Zurina

Penyelidik USM terima anugerah penyelidikan potensi ketum

GEORGETOWN: Seorang penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Dadah Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, terpilih menerima anugerah penyelidikan antarabangsa Georg Forster daripada Yayasan Alexender Von Humbolt Jerman.

Anugerah yang diumumkan pada 4 Ogos lalu itu diterima pensyarah bidang farmakologi, Prof Madya Zurina Hassan, 45, adalah berdasarkan kajiannya terhadap ketum dan potensi tumbuhan itu.

Menerusi anugerah yang diterima, beliau bersama sembilan lagi pemenang turut diberi dana berjumlah 60,000 Euro (RM294,679) bagi menyambung penyelidikannya di negara berkenaan.

Zurina berkata, kajian berkenaan dilakukan terhadap ilmu saraf asas yang berkaitan dengan gangguan neurologi dan psikiatri, seperti ketagihan dan penyakit Alzheimer, selain mencari rawatan baharu bagi gangguan itu.

Katanya, kajian itu dilakukan bagi mengenal pasti tindak balas ketum apabila ia masuk ke dalam badan manusia.

"Contohnya kita dapat mengetahui jumlah dos yang menyebabkan ia mendatangkan ketagihan atau memberi kesan terhadap memori.

"Anugerah tu akan saya terima secara formal daripada President of the Federal Republic of Germany pada Jun 2022 di Berlin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pertandingan berkenaan membabitkan kira-kira 2,000 penyertaan dari seluruh dunia yang mana hanya 10 penyelidik dipilih dan dianjurkan bagi menggalakkan penyelidik dari luar, terutama negara membangun supaya menyumbang kepakaran masing-masing kepada institusi penyelidikan di sana.

Mengulas lanjut, Zurina berkata, bagi memulakan kajian berkenaan, beliau dijangka ke Universiti Erlangen, Jerman pada Januari depan.

Katanya, dengan dana sebanyak itu, Zurina diberi tempoh selama enam hingga 12 bulan bagi menyiapkan kajian.

"Saya juga bercadang mahu membawa hasil penyelidikan berkenaan bunga telang bagi dibincangkan di Jerman, mengenai bagaimana ia berpotensi dalam memulihkan ingatan merawat penyakit lupa seperti dementia dan alzheimer.

"Saya bercadang mahu ia dikomersilkan sebagai kapsul yang akan dijual di pasaran," katanya yang juga bekas penasihat pakar sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015 dan 2016.

Pada tahun 2008, pusat pengajian itu menerima mandat kluster kecemerlangan sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Tinggi (HICOE) oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan melihat ketagihan dadah sebagai salah satu masalah penyelidikan kesihatan negara yang sebelum ini tidak dapat diselesaikan lalu menubuhkan makmal neurosains ketagihan pertama di Malaysia.

Penyelidikannya dikhaskan bagi model penagihan dadah yang berkaitan dengan penyalahgunaan ubat-ubatan dalam kalangan masyarakat Asia.

Berita Harian X