Jumaat, 24 September 2021 | 8:08pm
Rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat KKM. - Foto BERNAMA
Rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat KKM. - Foto BERNAMA

'Rentas negeri dalam beberapa minggu lagi' - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan 'dalam beberapa minggu lagi'.

Beliau berkata, ini kerana sehingga Rabu lalu, sebanyak 81 peratus populasi dewasa dalam negara sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan dalam tempoh beberapa minggu saja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri itu.

"Insya-Allah, sabar. Tunggu beberapa minggu lagi saya percaya 90 peratus dapat dicapai dan kelonggaran diberi untuk rentas negeri," kata Ismail Sabri yang menyifatkan pengumuman mengenai kebenaran rentas negeri itu sebagai sesuatu yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

"Kalau Rabu lalu sudah capai 81 peratus, maknanya sudah tidak lama lagi nak (boleh) rentas negeri. Jadi bolehlah balik ke kampung berjumpa ibu bapa. Saya difahamkan ada yang sudah setahun tidak berpeluang berjumpa ibu bapa," katanya ketika berucap melancarkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Rumah Ikram Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikannya memutuskan rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM). - BERNAMA

Berita Harian X