Jumaat, 24 September 2021 | 6:52pm

KKM bangunkan garis panduan dos ketiga vaksin COVID-19

PUTRAJAYA: Pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas garis panduan klinikal mengenai suntikan itu selesai dibangunkan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pakar perubatan dan kesihatan KKM sedang membangunkan garis panduan itu dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang akan datang.

Katanya, pemberian dos ketiga itu berbeza berbanding dos penggalak, yang mana suntikan ketiga tertumpu kepada kumpulan berisiko yang memiliki tahap imuniti yang rendah walaupun selepas menerima dua dos vaksin.

Dos penggalak pula, katanya, bermatlamat untuk merangsang dan meningkatkan kembali perlindungan kepada penerima dua dos vaksin, sebaik imun mereka berkurangan selepas tempoh tertentu.

"Sekarang, kita sedang membangunkan garis panduan mengenai pelaksanaan pemberian dos ketiga dan dos penggalak, yang akan dibentangkan pada mesyuarat JKJAV yang akan datang.

"Kita akan mulakan dengan memberi dos ketiga dahulu, disusuli dos penggalak bermula bulan depan.

"Pemberian dos ketiga dan dos penggalak akan dilaksanakan selepas mendapat pandangan dan garis panduan klinikal daripada pakar, dan selepas selesai pendaftaran oleh syarikat farmaseutikal dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," katanya pada sidang media, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19, selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

Keutamaan suntikan dos ketiga itu akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu.

Khairy berkata, garis panduan yang sedang dirangka itu akan memperincikan kumpulan berisiko yang akan diutamakan dalam pemberian dos ketiga berkenaan.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan, Pfizer hari ini sudah menghantar permohonan kepada NPRA untuk mendapat kelulusan penggunaan dos ketiga dan dos penggalak keluaran syarikat syarikat farmaseutikal itu.

"Hari ini, Pfizer sudah menghantar dosier mereka untuk dos penggalak dan dos ketiga kepada NPRA, dan kita akan luluskan secepat mungkin," katanya.

- Foto hiasan
- Foto hiasan
Berita Harian X