Rabu, 22 September 2021 | 3:27pm
Mangsa pencemaran, Rozina Ahmad, 46, bersama suaminya Abd Rahim Md Taib, 47, menunjukkan keadaan anak sungai selepas seminggu kejadian kes pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong Kempas. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Mangsa pencemaran sisa kimia masih trauma

JOHOR BAHRU: Dua beradik yang menjadi mangsa pencemaran sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, masih trauma dan fobia walaupun insiden berkenaan sudah seminggu berlalu.

Rozina Ahmad, 46, mendakwa lidahnya masih berasa pedar, saluran nafas sempit dan batuk-batuk selain cepat penat apabila melakukan kerja rumah.

Katanya, kesan yang sama turut dirasai kakaknya, Zalina Ahmad, 49, yang juga pengsan selepas terhidu bau gas berbahaya itu.

Beliau berkata, bau sisa kimia sudah hilang selepas tiga hari insiden itu namun apabila hujan baunya masih boleh dihidu walau tidak sepekat pada hari kejadian minggu lalu.

"Saya sekeluarga masih fobia dan trauma sehingga bimbang hendak keluar melakukan aktiviti berkebun dan bersantai di kawasan anak sungai atau anjung rumah kami seperti dahulu.

"Jika sebelum ini, kami mengambil air dari anak sungai untuk siram pelbagai pokok di kebun selain cucu sering mandi di situ, namun kini kami tidak lagi berani ke situ lagi.

"Kesan tompokan minyak hitam yang juga sisa kimia masih lagi dapat dilihat di bahagian tebing dan tersekat di dasar anak sungai, walaupun tidak banyak.

"Malah haiwan liar termasuk kera yang banyak berkeliaran di sini, sudah tidak lagi datang selepas berlakunya pencemaran," katanya di sini, hari ini.

Kesan sisa kimia masih lagi dapat dilihat selepas seminggu kejadian kes pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong Kempas. - Foto NUR AISYAH MAZALAN
Kesan sisa kimia masih lagi dapat dilihat selepas seminggu kejadian kes pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong Kempas. - Foto NUR AISYAH MAZALAN

Tinjauan di anak sungai serta Sungai Tawakal di kampung berkenaan mendapati sisa kimia terutama tompokan minyak masih dapat dilihat dengan jelas di tebing selain dasar sungai.

Bau sisa kimia berkenaan juga dapat dihidu ketika berada di anak sungai di situ namun baunya tidak sekuat minggu lalu.

Minggu lalu, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Selasa lalu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum kesemua mereka dibenarkan kembali ke rumah, sehari selepas kejadian itu.

Mangsa pencemaran, Rozina Ahmad menunjukkan laporan polis yang dibuat berikutan kes pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong Kempas. -- Foto NUR AISYAH MAZALAN

Sementara itu, Rozina berkata, beliau membuat laporan polis Jumaat lalu, sebagai langkah keselamatan diri dan keluarganya.

Katanya, ia juga sebagai memudahkan diri serta kakaknya mengambil tindakan perundangan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa kimia di kawasan kampung itu.

"Tindakan undang-undang akan diteruskan namun kami menunggu pihak terbabit didakwa di mahkamah sebelum tindakan susulan akan diteruskan," katanya.

Berita Harian X