Selasa, 21 September 2021 | 6:34pm

Lori misteri bergerak tanpa pemandu

SEGAMAT: Pengguna media sosial `kecoh' dengan sebuah video tular, yang memaparkan lori lama ketika perang zaman Jepun bergerak sendiri tanpa pemandu.

Video yang berdurasi kira-kira 45 saat itu dikatakan asalnya dimuat naik oleh seorang pengguna, enam bulan lalu.

Kini, video kejadian itu yang dikatakan berlaku di ladang kelapa sawit simpang kiri Sime Darby Chaah, Segamat, kembali tular di pelbagai platform media sosial seperti Whatsapp, Tiktok serta Youtube.

Kejadian dilihat berlaku pada siang hari dan lori itu bergerak sejauh lebih kurang 20 meter tanpa pemandu.

Tiada penjelasan lagi dibuat oleh mana-mana pihak berhubung perkara itu dan ia mengundang pelbagai andaian dalam kalangan media sosial.

"Tentera Jepun mana ada lori macam itu,"

"Hantu manalah usik orang siang-siang hari. Sah-sah kantoi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Buat malu tentera Nippon buat kerja macam ini," ulas seorang pengguna Facebook.

Video itu tular melalui aplikasi Whatsapp, Tiktok serta Youtube.

Rata-rata pengguna media sosial berpendapat ia hanya satu 'content' atau pengisian yang sengaja dibuat pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan apabila ia tular.

Ada juga pengguna media sosial yang berasa hairan dan mengajak pengguna lain memerhatikan tayar lori itu yang tidak berputar seperti bergerak di awang-awangan.

Tidak kurang juga yang menzahirkan rasa seram dan meremang bulu roma apabila menonton video itu berulang kali walaupun ia berlaku di siang hari.

Terdapat juga pengguna media sosial yang tidak menafikan kewujudan entiti daripada alam ghaib.

Pengguna media soslal meminta pihak yang bertanggungjawab tampil membuat pengakuan dan menjelaskan mengenai video itu.

Lori lama didakwa milik tentera Jepun yang bergerak tanpa pemandu di sebuah ladang sawit tular kembali di media sosial. - Foto NSTP/AHMAD ISMAIL
Lori lama didakwa milik tentera Jepun yang bergerak tanpa pemandu di sebuah ladang sawit tular kembali di media sosial. - Foto NSTP/AHMAD ISMAIL
Berita Harian X