Isnin, 20 September 2021 | 4:15pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Usah risau dos penggalak

KUALA LUMPUR: Rakyat dinasihat tidak bimbang dengan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 memandangkan program imunisasi penyakit berjangkit sedia ada turut memerlukan lebih dari dua dos suntikan bertujuan memberi perlindungan kesihatan tertinggi kepada manusia.

Antara penyakit yang memerlukan lebih dua dos suntikan adalah demam campak, rubella, beguk, penyakit difteri, pertusis, dan tetanus (DPT) serta polio

Pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata program vaksinasi kanak-kanak yang dijalankan kerajaan memperlihatkan kebaikan untuk rakyat khususnya perlindungan kesihatan golongan itu.

Katanya, orang dewasa seharusnya menjadi contoh lebih baik memandangkan program vaksinasi yang dijalankan kerajaan bertujuan menjaga kesihatan rakyat.

"Rakyat kena sedar program imunisasi sedia ada juga memerlukan lebih daripada dua dos. Malah ada sesetengah program vaksinasi memerlukan sehingga empat dos suntikan vaksin untuk perlindungan terbaik kepada tubuh," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementeriannya sedia memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 kepada orang awam, mulai awal bulan depan.

Katanya, kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM) akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan.

Dr Yahya berkata, dos penggalak patut diutamakan kepada individu berkeperluan seperti 'immune-compromised' dan 'immune-deficient'.

"Selain itu mereka yang mempunyai komorbiditi dan golongan berusia 60 tahun ke atas juga antara golongan yang patut diutamakan kerajaan dalam tujuan ini.

"Dos penggalak ini untuk memastikan kita sentiasa mendapat perlindungan yang terbaik dan tertinggi," katanya.

Mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak, Dr Yahya berkata, ia boleh diberikan secara homologous (mengguna jenis vaksin sama) atau haterologus (vaksin jenis berbeza).

"Kita boleh melihat data dari negara lain yang melaksanakan dos penggalak dan kesesuaian untuk melaksanakan program yang sama di negara kita.

"Beberapa kajian menunjukkan penerima vaksin Sinovac dengan dos penggalak Astrazeneca juga memberikan perlindungan yang tinggi. Begitu juga penerima vaksin Sinovac dengan penggalak vaksin Cansino," katanya.

Berita Harian X