Isnin, 20 September 2021 | 10:42am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Gejala 'Long COVID' membimbangkan

KUALA LUMPUR: Ancaman komplikasi jangka panjang akibat COVID-19 yang dikenali sebagai 'Long COVID', membimbangkan apabila semakin ramai jumlah pesakit wabak itu yang sudah sembuh, terpaksa dirujuk kembali ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU).

Mendedahkan perkara itu, Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa, mengakui semakin ramai jumlah bekas pesakit COVID-19 yang perlu mendapatkan rawatan di hospital dan dimasukkan ke wad.

Di hospital itu, katanya, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan akibat Long COVID dan dimasukkan ke wad meningkat sekitar 10 orang bulan ini.

Beliau berkata, punca utama bekas pesakit COVID-19 terpaksa kembali ke hospital dan dirawat di ICU adalah akibat mereka mengalami 'organizing pneumonia' (radang paru-paru).

"Organizing pneumonia ialah keadaan yang berlaku apabila paru-paru pesakit COVID-19 berparut selepas sembuh, kerana ketika dijangkiti, virus itu menyebabkan berlakunya keradangan atau kecederaam pada paru-paru mereka.

"Apabila ia berlaku, keradangan pada paru-paru boleh bertambah serius walaupun sudah sembuh daripada virus itu, menyebabkan mereka terpaksa dirawat semula dan sejumlah daripada mereka terpaksa dimasukkan ke ICU," katanya kepada BH.

Long COVID adalah keadaan pesakit, di mana gejala dan tanda COVID-19 dihidapi melebihi tempoh empat minggu.

Ia merangkumi dua tahap, iaitu gejala berterusan COVID-19 bagi pesakit yang bergejala dalam tempoh empat hingga 12 minggu serta sindrom pasca COVID-19 iaitu pesakit yang bergejala melebihi 12 minggu dan dan tidak dapat dikaitkan dengan diagnosis alternatif yang lain.

Pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Samhan Awang, dilaporkan berkata, pesakit COVID-19 yang sudah sembuh, khususnya kategori dua, tiga, empat dan lima, berkemungkinan besar mengalami komplikasi Long COVID.

Dr Nurul Yaqeen berkata, bekas pesakit COVID-19 yang mengalami situasi itu terpaksa dirawat di ICU kerana paru-paru mereka tidak dapat menjalankan fungsi pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida dengan baik akibat keradangan.

Katanya, ia menyebabkan penghidap Long COVID itu kekurangan oksigen dan keadaan mereka boleh menjadi kritikal, sekali gus memerlukan bantuan pernafasan di ICU.

"Ketika ini, tempoh rawatan di ICU bagi pesakit Long COVID adalah sekitar seminggu atau seminggu lebih," katanya.

Selain organizing pneumonia, Dr Nurul Yaqeen berkata, pesakit yang mengalami komplikasi Long COVID juga dikesan mengalami masalah darah beku di paru-paru.

"Walaupun sudah sembuh, darah beku masih boleh berlaku di saluran darah paru-paru, menyebabkan pesakit susah bernafas dan perlu dirawat di ICU," katanya, memaklumkn pesakit akan diberi ubat cair darah dalam keadaan itu.

Lebih membimbangkan, Dr Nurul Yaqeen memaklumkan bekas pesakit COVID-19 juga cenderung untuk mendapat serangan jantung, terutama jika virus itu menyebabkan keradangan pada jantung ketika mereka dijangkiti.

"Jika keradangan berlaku di paru-paru, pesakit yang sudah sembuh boleh terkena serangan jantung selepas sembuh dan perlu dirawat di ICU, walaupun tidak memiliki sejarah sakit jantung atau penyakit lain sebelum dijangkiti COVID-19," katanya.

Sehubungan itu, pakar paru-paru itu menyarankan bekas pesakit COVID-19 mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengambil makanan seimbang, kerap bersenam dan mendapatkan rehat mencukupi.

Katanya, saranan itu bagi meningkatkan imuniti tubuh badan, sekali gus berpotensi mengelakkan komplikasi Long COVID yang dialami menjadi teruk.

"Bersenam antara 20 hingga 30 minit setiap hari dan tidur mencukupi antara enam hingga tujuh jam, didapati boleh meningkatkan antibodi dan boleh memastikan Long COVID tidak bertambah teruk.

"Mereka juga perlu elak mengambil ubat tradisional dan rawatan herba yang tidak jelas kandungannya.

"Ini kerana kebanyakan ubat seumpamanya memiliki kandungan steroid yang tidak terkawal atau bahan toksik seperti merkuri, yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, hati dan sebagainya," katanya.

Berita Harian X