Isnin, 20 September 2021 | 10:04am
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menyaksikan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memberi suntikan kepada pelajar, Haziq Zafri Hiruddin, 17 ketika pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menyaksikan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memberi suntikan kepada pelajar, Haziq Zafri Hiruddin, 17 ketika pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

KKM pertimbang beri dos penggalak penerima vaksin CanSino

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan untuk memberikan dos penggalak kepada penerima vaksin tunggal CanSino.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu juga ada dinyatakan dalam permohonan oleh CanSino kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berkemungkinan, penerima CanSino juga akan menerima dos penggalak selepas enam bulan diberikan pelalian berkenaan.

"Bagaimanapun, kita akan memantau data dari negara lain yang menggunakan CanSino, sekiranya dapati mereka memberikan dos kedua selepas pemberian dos tunggal itu, kita akan mempertimbangkan.

"Apa yang positif mengenai vaksin itu ialah, kita mempunya kilang di Malaysia dan kerajaan tidak mempunyai masalah dari segi perolehan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 bagi golongan rentan dengan langkah itu akan dilaksana selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara mencapai 80 peratus.

Sebelum ini, Khairy berkata pihaknya sedia memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 kepada orang awam, mulai awal bulan depan.

Beliau berkata, kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti KKM akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sama ada negara ini mempunyai bekalan vaksin yang cukup atau memerlukan perolehan baharu sebelum dapat melaksanakan suntikan dos penggalak, Khairy berkata buat masa ini jumlah yang ada masih mencukupi.

"Buat masa ini kita mempunyai bekalan yang cukup untuk melaksanakan PICK Remaja serta permulaan dos penggalak.

"Bagaimanapun, mengenai dos penggalak ini kita akan umumkan periciannya seminggu dua lagi, kalau mengenai bekalan, Insya-Allah cukup," katanya.

Berita Harian X