Ahad, 19 September 2021 | 6:09pm

Suntikan dos penggalak bulan depan

ALOR SETAR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 kepada orang awam, mulai awal bulan depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti KKM akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan.

"Antara mereka yang diberi keutamaan ialah warga emas yang mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan yang mempunyai penyakit berisiko tinggi, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah serta individu yang berada dan bekerja di pusat jagaan warga emas.

"Ini amat penting kerana berdasarkan data kematian dan data pesakit kategori lima yang masuk ke unit rawatan rapi (ICU), kebanyakan mereka terdiri daripada golongan terbabit, termasuk warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, hipertensi dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 bagi golongan rentan dengan langkah itu akan dilaksana selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara mencapai 80 peratus.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihaknya masih mengadakan perbincangan bersama kumpulan pakar bagi menentukan usia individu yang bakal menerima dos ketiga.

Katanya, pemberian dos ketiga itu tidak bermaksud hasil pemberian dua dos vaksin yang diberikan sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia bagi meningkatkan sistem imun individu.

Mengulas mengenai jenis vaksin dos ketiga, beliau berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada pengeluar vaksin COVID-19 bagi didaftarkan di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Untuk dos ketiga, kita perlu dapatkan kebenaran NPRA sebab badan berkenaan hanya beri kebenaran untuk suntikan dua dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca.

"Semua pengeluar vaksin ini telah diminta hantar maklumat dos penggalak kepada NPRA.

"Saya jangka dalam tempoh seminggu dua boleh diluluskan. Selepas itu saya akan buat pengumuman jenis vaksin apa, boleh campur atau tidak. Bekalan vaksin pula saya yakin mencukupi," katanya.

Warga emas, Rahmah Saleh 71, menerima suntikan dos kedua vaksin Sinovac daripada petugas MERCY Cawangan Pahang. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Warga emas, Rahmah Saleh 71, menerima suntikan dos kedua vaksin Sinovac daripada petugas MERCY Cawangan Pahang. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) ketika lawatan kerja ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Turut sama Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Zaiton Udin (kiri). - Foto Luqman Hakim Zubir
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) ketika lawatan kerja ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Turut sama Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Zaiton Udin (kiri). - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X