Sabtu, 18 September 2021 | 5:53pm
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. - NSTP/FAIL
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. - NSTP/FAIL

3 Ahli Parlimen UMNO tolak pencalonan ganti Azalina - Tajuddin

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan beberapa ahli Parlimen parti itu disenaraikan sebagai calon mengisi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat sebelum nama Datuk Seri Ahmad Maslan dikemukakan kepada Parlimen.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) itu berkata, sebelum nama Ahmad dikemukakan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencadangkan beberapa nama lain, namun semua menolak dicalonkan ke jawatan itu yang memang sudah diperuntukkan kepada UMNO dan BN berdasarkan faktor penyandang terdahulu.

Ketika ditemui BH, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, mendakwa Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin, semuanya menolak daripada dicalonkan.

"Cameron Highlands tak mahu, Datuk Mastura pun tidak mahu, Datuk Hasan Arifin pun tidak mahu. Tidak ada siapa yang mahu," katanya dan sambil berseloroh memaklumkan beliau tidak layak memegang jawatan itu kerana kerap ke tandas membuang air kecil.

Blok kerajaan sebelum ini menamakan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Setiausaha Agung UMNO sebagai calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan.

Calon lain adalah Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming yang mewakili blok pembangkang.

Sementara itu, Tajuddin berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menambah jumlah Timbalan Speaker Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang, sudah dipersetujui blok kerajaan serta pembangkang bagi membolehkan kedua-dua pihak parti mempunyai wakil di Dewan Rakyat.

Katanya, langkah juga bagi memudahkan calon yang dinamakan kelak boleh menerima kompromi dan sokongan kedua-dua blok, baik kerajaan atau pembangkang.

"Langkah pertama tangguh dulu (pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat). Kita dalam keadaan sama, dalam mana-mana pemilihan di mana calon kita (blok kerajaan), kalau mahu jadi timbalan (Speaker Dewan Rakyat) kena menang undi (dalam dewan).

"Jadi, macam mana untuk pastikan (calon blok kerajaan) menang kalau mahu dipilih sekali lagi? Kita bersetuju wujudkan timbalan ketiga, dengan syarat mereka (blok pembangkang) sokong calon kita nanti. Sama ada sokong Ahmad Maslan atau orang lain nanti, terpulanglah," katanya.

Pada persidangan Selasa lalu, usul bagi memilih seorang lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditangguhkan ke persidangan akan datang. Ia bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan iaitu bagi menambah jumlah timbalan speaker daripada dua kepada tiga.

Berita Harian X