Sabtu, 18 September 2021 | 5:42pm
Tali air yang didakwa berlaku pencemaran bau oleh penduduk Kampung Baru Maju Sri Aman, Kempas. - Fail NSTP
Tali air yang didakwa berlaku pencemaran bau oleh penduduk Kampung Baru Maju Sri Aman, Kempas. - Fail NSTP

Buang sisa kimia, lapan individu bebas reman

JOHOR BAHRU: Lapan individu yang direman bagi membantu siasatan insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas di sini, malam Selasa lalu, dibebaskan hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

"Semua lapan suspek yang ditahan reman sejak Khamis lalu telah lengkap diambil keterangan dan dibebaskan hari ini.

"Pegawai siasatan JAS sedang melengkapkan kertas siasatan untuk pendakwaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lapan suspek yang disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, direman tiga hari bermula Khamis lalu.

Mohd Famey dilaporkan berkata, seorang lagi suspek yang ditahan tidak direman kerana selesai diambil keterangan Rabu lalu dan dilepaskan dengan jaminan polis.

Rabu lalu, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan manakala ramai dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia dari Sungai Tawakal berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Selasa itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum dibenarkan kembali ke rumah sehari selepas insiden berkenaan.

Berita Harian X