Sabtu, 18 September 2021 | 3:42pm
SULTAN Ibrahim Iskandar menggesa Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan anak-anak yang dilahirkan kepada warga Malaysia di luar negara untuk diberikan kewarganegaraan secara automatik. - Foto RPO
SULTAN Ibrahim Iskandar menggesa Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan anak-anak yang dilahirkan kepada warga Malaysia di luar negara untuk diberikan kewarganegaraan secara automatik. - Foto RPO

Tarik balik rayuan - Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan anak-anak yang dilahirkan kepada warga Malaysia di luar negara, untuk diberikan kewarganegaraan secara automatik, tanpa mengira ibu atau bapa kepada anak berkenaan.

Baginda bertitah, semua anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mesti diberikan hak kerakyatan negara ini.

"Kesucian mahkamah mesti dipelihara. Mengapa ibu warganegara Malaysia yang melahirkan di luar negara perlu alami diskriminasi? Ini adalah hak asasi setiap anak yang dilahirkan, tidak kira ibu atau bapanya yang merupakan warganegara Malaysia.

"Ada sesuatu yang tidak kena apabila pihak bapa dan ibu dipandang secara berbeza daripada sudut undang-undang dalam soal berkaitan kerakyatan anak mereka.

"Adakah ibu dan bapa mempunyai taraf kerakyatan Malaysia yang berbeza?" titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan di media sosial, hari ini.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan anak-anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara secara automatik akan diberikan kewarganegaraan Malaysia.

Kerajaan Persekutuan kemudian memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu.

Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan tidak wajar menolak kerakyatan kepada mereka yang berhak, lebih-lebih lagi apabila Malaysia kini berdepan masalah serius kehilangan orang muda yang berbakat dan berkelayakan.

"Inilah masanya untuk menerima mereka dan menerapkan semangat Malaysia dalam diri mereka. Bukannya menolak dan menghalau mereka. Dasar seperti ini adalah tidak betul.

"Dalam semangat Keluarga Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Peguam Negara harus segera menarik balik rayuan ke atas keputusan mahkamah itu," titah baginda.

Berita Harian X