Sabtu, 18 September 2021 | 12:20pm
Pintu masuk ke Taman Negara di Kuala Tahan masih sepi daripada kunjungan pelancong. - NST/ROSELAN AB MALEK
Pintu masuk ke Taman Negara di Kuala Tahan masih sepi daripada kunjungan pelancong. - NST/ROSELAN AB MALEK

Pemandu pelancong kerja ladang sawit cari rezeki

JERANTUT: Impak pandemik COVID-19 ke atas industri pelancongan di Kuala Tahan begitu memberi kesan kepada penggiat industri ekopelancongan di kawasan terbabit.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu menyebabkan destinasi pelancongan popular berkenaan sepi, sekali gus menyaksikan kira-kira 300 penggiat industri itu seperti pemandu pelancong, pemandu bot dan pemilik serta pekerja resort hilang punca pendapatan.

Sebahagian daripada mereka masih bertahan, namun sebahagian lain terpaksa bertukar bidang kerja atau mencari punca pendapatan lain yang tiada kaitan dengan industri pelancongan seperti menanam sayur, menjadi sukarelawan, menjual kuih-muih, malah bekerja di ladang sawit dan getah.

Pengurus FELCRA Tembeling Tengah, Amir Nasriq Abdul Hamid, berkata selepas PKP pertama tahun lalu, pihaknya menerima banyak permohonan daripada penduduk Kuala Tahan dan kampung sekitar termasuk pengiat ekopelancongan untuk bekerja di ladang kelapa sawit dan getah milik agensi itu.

"Keadaan ini agak baik juga kerana kita memang kekurangan pekerja di ladang untuk tugasan membaja, meracun, mengait buah dan sebagainya yang sebelum ini banyak dilakukan oleh tenaga kerja asing.

"Pada masa ini, terdapat 22 penggiat pelancongan bekerja sebagai buruh ladang di FELCRA Tembeling Tengah dan lima pemandu pelancong menceburi bidang perladangan. Selain itu, ada 12 bekas pekerja resort dan chalet serta lima pemandu bot turut bekerja di ladang FELCRA Tembeling Tengah," katanya.

Beliau berkata, walaupun agak kekok pada peringkat awal bekerja di ladang, lama kelamaan mereka dapat menjalankan tugasan dengan baik.

Sementara itu, seorang pemandu pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Man, berkata beliau terpaksa bekerja di ladang sawit untuk kelangsungan hidup keluarga serta mencari sumber kewangan untuk memenuhi pelbagai komitmen.

"Walaupun pada peringkat awal, kerja di ladang agak berat bagi saya, lama kelamaan saya sudah dapat membiasakan diri. Saya harap industri pelancongan dapat pulih segera kerana ramai penduduk di sini, terutama generasi muda bergantung kepada kunjungan pelancong," katanya.

Berita Harian X