Khamis, 16 September 2021 | 6:06pm

Pencemaran semakin pulih

JOHOR BAHRU: Pencemaran udara akibat pembuangan sisa toksik ke anak sungai yang mengalir ke Sungai Tawakal di Kampung Baru Seri Aman, Seelong, Kempas, di sini, sejak malam kelmarin, kini semakin pulih.

Tinjauan di Kampung Baru Seri Aman, mendapati kesan pencemaran termasuk tompokan minyak kehitaman yang dipercayai sisa kimia buangan terjadual berbahaya, masih lagi boleh dilihat dengan jelas.

Tompokan minyak hitam tebal dapat dilihat terperangkap di sekitar 'oil boom' yang dipasang Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, sejak malam kelmarin.

Bau toksik juga masih dapat dihidu, namun ia tidak sekuat pada malam insiden pencemaran itu berlaku yang menyebabkan empat penduduk sesak nafas dan pengsan manakala 102 penduduk lagi terpaksa dipindahkan sementara.

Malah beberapa hidupan akuatik termasuk belut turut dapat dilihat mati dipercayai akibat keracunan sisa toksik di anak sungai berkenaan.

Penolong Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar JAS Johor, Muhammad Faiz Mohd Shafie berkata, kualiti udara di kawasan kampung berkenaan menunjukkan perubahan positif berbanding kelmarin dan semalam.

Katanya, hasil cerapan yang dilakukan, mendapati bacaan kualiti udara yang lebih baik berbanding semalam yang merekodkan bacaan 0.6 hingga 1 bahagian persejuta (PPM), bacaan sisa kimia dalam udara.

"Bagaimanapun, pemantauan dan cerapan kualiti udara akan diteruskan di kampung ini bagi memastikan keadaan benar-benar pulih.

"Ia berikutan kita bimbang jika cuaca hujan akan membawa semula sisa kimia yang dibuang dari kawasan lain memasuki anak sungai di sini.

"JAS meletakkan empat 'oil boom' di sepanjang kawasan anak sungai dan Sungai Tawakal sebagai benteng, sisa kimia yang masih ada akan diserap peralatan itu dan akan dibersihkan," katanya ketika ditemui.

Berita Harian X